Accessibility Tools

Skip to main content

CEPA didik masyarakat pelihara sungai

  • 27 October 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 30

KOTA BHARU, 27 Oktober - Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) menjadi pendekatan penting dalam menyampaikan maklumat serta mendidik masyarakat mengenai kepentingan pengurusan sumber air dan pemeliharaan sungai.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan Dato' Ir. Ts. Gs. Dr. Siti Fairus Zakaria berkata program itu turut berperanan membentuk kesedaran awam mengenai kepentingan pengurusan sungai secara bersepadu.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada program CEPA bagi Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) Sungai Kelantan 2026 sempena Sambutan Hari Sungai Sedunia peringkat negeri Kelantan di Pasar Warisan, Pengkalan Datu, hari ini.

Menurutnya, pelbagai aktiviti berjaya dilaksanakan menerusi program berkenaan, antaranya gotong-royong, pertandingan memancing, pertandingan mewarna, taklimat berkaitan CEPA serta pameran daripada pelbagai agensi.

Katanya, menerusi program seumpama itu, masyarakat dapat memahami dengan lebih jelas kesan aktiviti manusia terhadap sungai, termasuk pembuangan sampah dan sisa tanpa kawalan.

Tambahnya, program CEPA turut membuka ruang kepada agensi kerajaan, komuniti setempat, pihak sekolah, institusi pengajian tinggi, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk berganding bahu melaksanakan aktiviti yang memberi manfaat kepada alam sekitar.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap program berkenaan tidak sekadar menjadi acara tahunan, sebaliknya mampu menjadi pemangkin kepada perubahan sikap dan amalan masyarakat dalam kehidupan seharian.

Ujarnya lagi,  kesedaran yang dipupuk perlu diterjemahkan melalui tindakan berterusan, termasuk tidak membuang sampah ke dalam sungai, mengurangkan penggunaan bahan yang mencemarkan alam sekitar serta menjaga kebersihan kawasan tebing sungai.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya melaporkan kejadian pencemaran sungai kepada pihak berkuasa berkaitan bagi membantu memastikan kebersihan dan kelestarian sungai terus terpelihara.

Pautan berjaya disalin!