PERKIM Kelantan kemuka empat cadangan pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-65
-
27 October 2026
-
Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Media YB Ustaz Asri Daud
-
25
KOTA DARULNAIM, 27 Oktober - Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Kelantan mengemukakan empat cadangan bagi memperkukuh gerakan dakwah, kelestarian kewangan, penglibatan golongan muda dan kebajikan saudara baharu pada Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PERKIM ke-65 di Hotel Pullman, Kuching, Sarawak semalam.
Cadangan itu dikemukakan Naib Pengerusi II PERKIM Bahagian Kelantan yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan YB Mohd Asri Mat Daud ketika menyampaikan ucapan penangguhan mesyuarat berkenaan.
Beliau mengemukakan usul berkaitan pemerkasaan transformasi dakwah PERKIM agar selari dengan perkembangan era digital dan kecerdasan buatan (AI) menerusi pendekatan yang bersesuaian.
Beliau turut mencadangkan usaha memperkukuh kelestarian sumber kewangan dan pengumpulan dana melalui ekosistem wakaf dakwah, tanpa hanya bergantung kepada sumbangan.
Selain itu, beliau juga mengesyorkan penglibatan golongan muda sebagai pelapis pendakwah dipertingkatkan menerusi peluasan sayap belia PERKIM di universiti dan komuniti.
Cadangan keempat pula menumpukan usaha menangani konflik yang dihadapi saudara baharu melalui kaedah bersesuaian serta pemantauan berterusan.
"Sehubungan itu, keperluan mewujudkan ejen ukhuwah dan rakan dakwah yang sentiasa peka terhadap keadaan saudara baharu bagi memastikan mereka mendapat perhatian sewajarnya," katanya di media sosial, semalam.
Ucapan penggulungan mesyuarat berkenaan disempurnakan Yang Dipertua PERKIM Kebangsaan yang juga Ketua Menteri Sarawak YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Johari, selepas ucapan penangguhan wakil dari seluruh negeri dan Wilayah Persekutuan.
Sebanyak 12 wakil PERKIM Bahagian Kelantan menghadiri mesyuarat berkenaan yang diketuai Naib Pengerusi I YB Dato' Bentara Kanan Ustaz Dato' H Ahmad Yakob.












