477.70 kilogram sampah dikutip dalam program konservasi marin di Bachok
-
28 October 2026
-
Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Media YB Dato' Tuan Saripudin
-
31
BACHOK, 28 Oktober - Sebanyak 477.70 kilogram sampah berjaya dikutip menerusi Program Keberkesanan Ekologi Tukun Tiruan dan Kesedaran Konservasi Marin Siri 2/2026 di Pantai Long Beach D’Gali Camp, Mukim Sungai Gali, di sini, pada Selasa.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, usaha menjaga kebersihan pantai amat penting bagi melindungi hidupan marin selain menarik kedatangan pelancong ke kawasan berkenaan.
Menurutnya, kebersihan pantai yang terpelihara dapat memberi manfaat kepada ekosistem marin dan berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat melalui sektor pelancongan.
“Sekiranya pantai kita bersih, ramai orang akan datang. Kita akan menarik para pelancong untuk datang ke sini. Secara tidak langsung, ia akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat."
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program berkenaan yang turut diserikan dengan aktiviti kutipan sampah di kawasan persisiran Pantai Long Beach D’Gali Camp, Mukim Sungai Gali, di sini semalam.
Beliau memaklumkan, Jajahan Bachok mempunyai jajaran pantai sepanjang 35 kilometer yang menghadap Laut China Selatan, sekali gus menjadikannya berpotensi sebagai pusat industri perikanan dan destinasi pelancongan pesisir pantai utama di Kelantan.
Kata Dato' Tuan Mohd Saripudin lagi, pendekatan berasaskan pendidikan juga penting bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan pantai dan memulihara ekologi marin.
Sehubungan dengan itu, beliau menyatakan program berkenaan turut merangkumi taklimat mengenai pembangunan tukun tiruan dan kesannya terhadap ekologi marin sekitarnya, selain konservasi penyu dan mamalia marin Malaysia.
Ujarnya, taklimat berkenaan menjadi medium untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai, khususnya nelayan dan penduduk setempat, mengenai kepentingan memelihara ekosistem marin.
Program tersebut dilaksanakan menerusi kerjasama komuniti perikanan Jajahan Bachok, Pejabat Perikanan Negeri Kelantan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Geng Plastik Ija.
Beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program berkenaan, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
Beliau juga berharap usaha seumpama itu dapat diteruskan secara berterusan dengan penglibatan masyarakat, NGO, komuniti nelayan dan agensi kerajaan bagi melindungi khazanah laut, memelihara sumber perikanan serta memastikan alam sekitar yang bersih dan lestari dapat diwariskan kepada generasi akan datang.
Hadir sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Pantai Irama YB Mohd Huzaimy Che Husin, ADN Tawang YB Harun Ismail, ADN Jelawat YB Zameri Mat Nawang, Ketua Jajahan Bachok Mohd Zaki Yusoff dan Pengarah Perikanan Negeri Kelantan Ismail Ibrahim.












