Timbus sungai punca banjir, ganggu aliran air - YB Dato' Dr Izani
-
27 October 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
28
KOTA BHARU, 27 Oktober - Perbuatan menimbus sungai dan aliran anak sungai untuk pembinaan rumah serta membiarkan sampah dan sisa buangan memasuki sungai boleh mengganggu aliran air, sekali gus meningkatkan risiko banjir.
Demikian menurut Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato' Dr Izani Husin ketika merasmikan program Communication, Educational and Public Awareness (CEPA) bagi Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) Sungai Kelantan 2026 sempena Sambutan Hari Sungai Sedunia peringkat negeri Kelantan di Pasar Warisan, Pengkalan Datu, di sini, hari ini.
Katanya, aliran sungai yang terganggu akibat tindakan manusia boleh menyebabkan air melimpah dan mengakibatkan banjir.
"Sungai merupakan khazanah penting yang mempunyai pelbagai fungsi, termasuk sebagai sumber air, punca rezeki masyarakat setempat dan habitat hidupan akuatik.
“Aliran sungai ini tidak pergi ke mana-mana, ia mengikut laluannya sendiri. Kalau kita menimbus laluannya, aliran air akan terganggu. Apabila aliran air terganggu, berlaku banjir. Jadi, puncanya daripada tangan kita sendiri."
Menurutnya lagi, kerajaan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membelanjakan lebih RM18 juta setiap tahun bagi kerja-kerja membersihkan alur sungai dan anak sungai yang kotor.
“Sungai Kelantan ini sebenarnya bersih, cuma keruh disebabkan air lumpur dari hulu turun. Selain itu, ada tunggul dan batang kayu yang hanyut ke muara, terutamanya ketika musim tengkujuh,” katanya.
Tambahnya, sungai Kelantan juga menjadi sumber air mentah yang digunakan oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sebelum dirawat untuk dibekalkan kepada rakyat.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya menjaga kebersihan sungai kerana pencemaran boleh menyebabkan hidupan akuatik pupus dan menjejaskan sumber rezeki penduduk yang bergantung kepada sungai, termasuk nelayan darat.
Beliau juga mengingatkan masyarakat bahawa sungai yang bersih membolehkan pelbagai aktiviti rekreasi dan program kesedaran alam sekitar dilaksanakan dengan lebih baik.
Oleh itu, masyarakat dinasihatkan supaya mengambil kira kedudukan sungai ketika membina rumah, termasuk mengelakkan reka bentuk kediaman yang membelakangi sungai sehingga memudahkan sampah dan kotoran memasuki aliran air.
Dalam program CEPA, turut diadakan pelepasan anak ikan sebagai simbolik dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memelihara, memulihara serta pengurusan sungai secara bersepadu serta menjaga kelestarian dan pengurusan sungai.
Hadir sama, Pengarah JPS Dato' Ir. Ts. Gs. Dr. Siti Fairus Zakaria serta wakil Ketua Jajahan Kota Bharu Wan Ahmad Shazrul Wan Abdul Rahim.










