Accessibility Tools

Skip to main content

SG4 selaras pembangunan kemahiran, logistik dan ekosistem industri mineral kritikal

  • 27 October 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 20

KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Gabungan SG4 memberi tumpuan kepada penyelarasan pembangunan kemahiran, logistik dan perkongsian ekosistem perindustrian antara negeri anggota bagi memperkukuh rantaian nilai mineral kritikal serta meningkatkan daya saing dalam industri strategik berkenaan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, pendekatan kerjasama serantau itu turut membuka ruang kepada penyelarasan promosi pelaburan dan perancangan infrastruktur dengan memanfaatkan kekuatan ekonomi, sumber serta keupayaan setiap negeri secara saling melengkapi.

"Pendekatan SG4 menyediakan platform untuk meneroka bagaimana negeri-negeri kita boleh menyelaraskan promosi pelaburan dan perancangan infrastruktur,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Critical Minerals: Positioning Malaysia in the Strategic Global Supply Chain pada SG4 Business & Economic Forum 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre, semalam.

Menurutnya lagi, pembangunan industri mineral kritikal memerlukan kerjasama yang melangkaui aspek penerokaan sumber dengan memberi perhatian kepada pembentukan ekosistem perindustrian yang bersepadu bagi menyokong keseluruhan rantaian nilai.

Jelasnya, penyelarasan pembangunan tenaga kerja berkemahiran, kemudahan logistik dan jaringan industri membolehkan negeri-negeri anggota SG4 meneroka peluang kerjasama berdasarkan kelebihan serta kapasiti masing-masing.

Dato' Dr. Mohamed Fadzli juga menegaskan bahawa sebarang perancangan bersama perlu mengambil kira bidang kuasa perundangan dan perlembagaan setiap negeri bagi memastikan pelaksanaannya selaras dengan kerangka tadbir urus sedia ada.

Katanya, setiap cadangan pembangunan juga perlu berasaskan kajian teknikal, penilaian kebolehlaksanaan dan proses yang telus sebelum diterjemahkan kepada pelaksanaan.

Sehubungan dengan itu, beliau optimis platform SG4 berpotensi menjadi mekanisme penyelarasan strategik bagi mengoptimumkan penggunaan sumber, memperluas jaringan pelaburan serta membangunkan keupayaan industri mineral kritikal secara lebih bersepadu.

Pautan berjaya disalin!