Moratorium eksport REE mentah kekal sejak Januari 2024
-
27 October 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
22
KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Moratorium eksport unsur nadir bumi (REE) mentah atau belum diproses yang berkuat kuasa sejak Januari 2024 menjadi antara langkah penting untuk menggalakkan pembangunan industri pemprosesan dan penapisan mineral dalam negara.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, pendekatan itu bertujuan mendorong pelabur membangunkan kemudahan pemprosesan domestik dan meningkatkan nilai ekonomi sumber mineral negara.
“Sejak Januari 2024, negara telah mengekalkan moratorium ke atas eksport nadir bumi mentah atau belum diproses bagi mendorong penapisan domestik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pembentangannya yang bertajuk “Critical Minerals: Positioning Malaysia in the Strategic Global Supply Chain” pada SG4 Business & Economic Forum 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre, semalam.
Menurutnya, pembangunan industri pemprosesan tempatan penting bagi mengelakkan Malaysia terus bergantung pada eksport bahan mentah tanpa memperoleh manfaat nilai tambah yang lebih besar.
“Kita mahu pelabur membawa teknologi dan membina kapasiti penapisan terus di bumi Malaysia,” katanya.
Beliau memaklumkan, pengembangan industri hiliran berpotensi menyokong pembentukan ekosistem pembuatan yang lebih kukuh, termasuk membuka ruang kepada peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Walau bagaimanapun, usaha tersebut memerlukan penyelarasan antara kerajaan negeri dan persekutuan serta sokongan infrastruktur yang bersesuaian.
Pada masa sama, pembangunan industri mineral perlu mengambil kira pematuhan standard keselamatan dan perlindungan alam sekitar bagi memastikan sumber berkenaan diuruskan secara bertanggungjawab.










