Kelantan sasar KDNK sebenar hingga RM50 bilion menjelang 2035
-
27 October 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
26
KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Kelantan berpotensi meneliti sasaran meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebenar kepada RM45 bilion hingga RM50 bilion menjelang 2035 menerusi pembangunan ekosistem perindustrian mineral yang tersusun dan bernilai tinggi.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, aspirasi tersebut turut merangkumi potensi mewujudkan antara 5,000 hingga 10,000 peluang pekerjaan langsung, tidak langsung dan teraruh dalam tempoh sedekad.
“Kelantan boleh meneliti aspirasi jangka panjang untuk meningkatkan KDNK sebenar ke arah RM45 hingga RM50 bilion menjelang 2035,” katanya ketika menyampaikan pembentangannya yang bertajuk “Critical Minerals: Positioning Malaysia in the Strategic Global Supply Chain” pada SG4 Business & Economic Forum 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre, semalam.
Menurutnya, pembangunan berkenaan perlu dilaksanakan secara berfasa, merangkumi penerokaan sumber, pemprosesan awal dan pembuatan produk bernilai tinggi.
Beliau menjelaskan bahawa pembangunan industri mineral dirancang untuk melengkapi kekuatan ekonomi tradisional negeri, bukannya menggantikan sektor sedia ada.
“Pembangunan ini bertujuan melengkapi kekuatan tradisional negeri tanpa menjejaskan sektor pertanian sedia ada,” katanya.
Menurutnya, sektor pertanian akan terus menjadi teras keselamatan makanan negeri, manakala pertumbuhan industri yang terancang berpotensi menyokong pemodenan sektor berkenaan.
Walau bagaimanapun, katanya, aspirasi ekonomi tersebut memerlukan tadbir urus telus, kerjasama pihak berkepentingan serta pertimbangan terhadap kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.










