Accessibility Tools

Skip to main content

Malaysia miliki asas sumber mineral terpetakan bernilai RM4.11 trilion

  • 27 October 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 26

KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Malaysia mempunyai asas sumber mineral terpetakan bernilai kira-kira RM4.11 trilion, sekali gus membuka peluang besar untuk memperkukuh kedudukan ekonomi negara menerusi pembangunan industri mineral secara strategik dan mampan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, nilai sumber tersebut menunjukkan potensi besar sektor mineral negara yang perlu diuruskan secara cekap, berintegriti dan bertanggungjawab.

Menurutnya, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia mengesahkan anggaran asas sumber mineral terpetakan negara mencecah nilai berkenaan.

“Malaysia memiliki asas sumber mineral terpetakan yang bernilai amat tinggi, sekali gus membuka peluang besar untuk diterokai secara mampan,” katanya ketika menyampaikan pembentangan bertajuk “Critical Minerals: Positioning Malaysia in the Strategic Global Supply Chain” pada SG4 Business & Economic Forum 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre, semalam.

Beliau turut mendedahkan bahawa eksport mineral negara pada 2024 mencatatkan nilai RM8.29 bilion, manakala produk berasaskan mineral mencecah RM90 bilion.

Dalam tempoh sama, nilai pengeluaran mineral direkodkan sebanyak RM8.2 bilion, menggambarkan sumbangan sektor tersebut kepada aktiviti ekonomi negara.

Beliau juga menegaskan kekayaan sumber semula jadi perlu disertai tadbir urus yang baik bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat dan generasi akan datang.

“Kita mesti memastikan kekayaan sumber semula jadi ini diuruskan dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan rakyat dan generasi masa depan,” katanya.

Justeru, kerjasama kerajaan Persekutuan dan negeri, bersama penguasaan teknologi pemprosesan tempatan, penting untuk membangunkan rantaian nilai mineral yang berdaya saing.

Pautan berjaya disalin!