Accessibility Tools

Skip to main content

Tiga negeri SG4 miliki deposit REE RM568.10 bilion

  • 27 October 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 20

KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Tiga negeri dalam gabungan SG4 iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah mempunyai deposit unsur nadir bumi (REE) dengan jumlah nilai dianggarkan RM568.10 bilion, sekali gus menyerlahkan potensi sumber mineral strategik di rantau berkenaan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, Terengganu merekodkan deposit REE terbesar di Malaysia dengan nilai dianggarkan RM382.25 bilion.
Diikuti Kelantan sebagai deposit kedua terbesar.

Beliau memaklumkan hal tersebut ketika menyampaikan pembentangannya yang bertajuk “Critical Minerals: Positioning Malaysia in the Strategic Global Supply Chain” pada SG4 Business & Economic Forum 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre, semalam.

Menurutnya lagi, Kelantan mempunyai deposit REE bernilai RM129.15 bilion, manakala Kedah merekodkan nilai RM56.70 bilion.

Kedah berada pada kedudukan kelima terbesar di Malaysia selepas Perak dan Pahang berdasarkan nilai deposit yang dinyatakan.

Secara keseluruhan, nilai deposit di Terengganu, Kelantan dan Kedah berjumlah RM568.10 bilion, melibatkan tiga daripada empat negeri dalam gabungan SG4.

“Jumlah keseluruhan bernilai RM568.10 bilion ini terkandung di dalam tiga daripada empat buah negeri SG4,” jelasnya.

Beliau berkata, potensi tersebut membuka ruang kepada kerjasama antara negeri dalam perkongsian kepakaran, pembangunan infrastruktur dan perancangan industri, dengan pengurusan sumber perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab serta mengambil kira keperluan alam sekitar.

Pautan berjaya disalin!