KGT lancar aplikasi mudah alih, perluas akses simpanan emas digital patuh syariah
-
27 October 2026
-
Oleh: Norzana Razaly
-
33
KOTA BHARU, 25 Oktober – Kelantan Gold Trade (KGT) melancarkan aplikasi mudah alih KGT Mobile bagi memperluas akses perkhidmatan simpanan emas digital patuh syariah, sekali gus memudahkan pelanggan mengurus simpanan menerusi platform berasaskan teknologi.
Sehubungan dengan itu Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan YB Mejar (B) Dato’ Md. Anizam Ab. Rahman berkata, pengenalan KGT Mobile mencerminkan komitmen syarikat untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta menyediakan kemudahan simpanan emas yang lebih mudah diakses masyarakat.
"Pelancaran KGT Mobile hari ini menandakan langkah baharu KGT dalam memperkasa transformasi digital industri emas seiring dengan perkembangan teknologi kewangan dan keperluan pengguna," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran aplikasi tersebut sempena program Corporate Biz & Gold Innovation Hi Tea 2026 di sebuah hotel di sini, pada Ahad.
Menurutnya, sejak ditubuhkan pada 2008, KGT telah hampir 18 tahun memainkan peranan dalam menggalakkan budaya penyimpanan emas dengan memberi penekanan terhadap pematuhan prinsip syariah dan pembangunan teknologi digital.
“Pelancaran KGT Mobile mencerminkan usaha KGT untuk menambah baik saluran perkhidmatan dan menyesuaikannya dengan gaya hidup pengguna yang semakin bergantung pada telefon pintar bagi urusan harian,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik dan komuniti perniagaan atas sokongan berterusan terhadap perkembangan KGT.
“Hubungan strategik ini dilihat berpotensi membuka ruang kepada perkongsian idea, peluasan pasaran dan pembangunan inisiatif yang lebih berkesan,” katanya.
Dato' Md. Anizam juga memaklumkan, perkembangan teknologi membuka ruang kepada syarikat untuk memperluas perkhidmatan simpanan emas tanpa mengetepikan prinsip syariah yang menjadi asas operasi KGT.
"Memandangkan Kelantan satu-satunya negeri yang pasarnya iaitu Pasar Siti Khadijah dikelilingi puluhan kiosk emas, menunjukkan masyarakat Kelantan. memang celik emas dan suka berpakaian cantik, kita akan anjurkan Karnival Batik, Songket dan Emas pada minggu ketigaNovember khas untuk usahawan dan pemain industri berkenaan termasuk KGT," jelasnya.
Sementara itu, Pengurus Besar KGT Wan Najahudin Wan Fuad berkata, pelancaran KGT Mobile menjadi permulaan kepada usaha penambahbaikan perkhidmatan secara berterusan.
"Selain produk simpanan berbentuk fizikal termasuk dinar emas dan dirham perak Kelantan, KGT kini turut menawarkan pilihan simpanan digital yang diperkenalkan sebagai produk patuh syariah dan dilindungi takaful," katanya.
Menurutnya lagi, KGT turut memberi perhatian terhadap keperluan menyediakan penerangan dan bimbingan kepada pelanggan yang kurang mahir menggunakan platform digital supaya kemudahan tersebut dapat dimanfaatkan secara menyeluruh.
Tambahnya, setiap inovasi yang diperkenalkan perlu memberikan manfaat sebenar kepada pelanggan, khususnya dari segi kemudahan akses dan pengalaman menggunakan perkhidmatan simpanan emas.
“Melalui Corporate Biz & Gold Innovation Hi Tea 2026, KGT berharap dapat memperkukuh hubungan sedia ada, meneroka peluang kerjasama baharu dan meneruskan pembangunan inovasi digital yang memberi manfaat kepada masyarakat,” ujarnya.














