LRA Chicha 2 mampu bekal 20 juta liter sehari, bekalan air Seribong dan Pasir Hor semakin baik – Dato’ Dr. Izani
-
27 October 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
30
KOTA BHARU, 26 Oktober – Loji Rawatan Air (LRA) Chicha 2 berupaya menghasilkan sehingga 20 juta liter air sehari bagi meningkatkan bekalan kepada pengguna di Kota Bharu Selatan, namun kapasiti itu belum dapat dimanfaatkan sepenuhnya berikutan kekangan paip lama.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr. Izani Husin berkata, pengeluaran air ketika ini sekitar 13 juta liter sehari kerana peningkatan tekanan pada paip sedia ada berisiko menyebabkan paip pecah.
“Loji Chicha 2 ini kita boleh keluarkan maksimum 20 juta liter sehari. Tetapi kita tidak mampu teruskan kerana paip-paip asbestos cement (AC) kita, saiz paip lama itu kalau kita tingkatkan sedikit tekanan, ia akan pecah,” katanya ketika lawatan ke LRA Chicha 2, di sini, hari ini.
Menurutnya, perbincangan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) perlu diteruskan bagi mempercepat penggantian paip lama, sekali gus membolehkan kapasiti pengeluaran loji dimanfaatkan sepenuhnya.
“Kalau kita boleh buat semua ini, kita boleh tingkatkan pengeluaran air kepada 20 juta liter. Kita rasa masalah air di tempat-tempat itu semua tidak jadi masalah, terutama sekali kawasan Lundang dan Telipot,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata operasi LRA Chicha 2 telah membantu menambah baik bekalan air di Seribong dan Pasir Hor yang sebelum ini berdepan masalah bekalan.
“Selepas siapnya loji ini, alhamdulillah air di Seribong tidak ada masalah. Air dapat, cuma kita hendak tingkatkan lagi bekalan air di Seribong itu,” katanya.
Beliau memaklumkan, Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) akan menukar sistem penggalak tekanan air (booster) di Seribong bagi meningkatkan kapasiti agihan daripada sekitar sembilan juta liter kepada 12 hingga 13 juta liter air.
“Jadi kita hendak biar ia sampai 12 ke 13 juta liter air. Untuk itu, AKSB akan tukar booster tersebut supaya air dapat disalurkan dengan lebih baik,” jelasnya.
Menurutnya lagi, bekalan air di Pasir Hor juga menunjukkan perkembangan positif selepas operasi loji berkenaan, dengan kuantiti air yang tersedia mencukupi untuk memenuhi keperluan kawasan tersebut.
Walau bagaimanapun, katanya, masih terdapat kawasan di hujung rangkaian paip yang memerlukan penambahbaikan bagi memastikan bekalan dapat disalurkan secara menyeluruh.
“Kita akan buat satu booster di situ, insya-Allah, sebab kita hendak tunggu loji Semerak yang telah kita persetujui dan diluluskan oleh SPAN. Tetapi sasaran untuk loji itu pada 2031,” jelasnya.
Tambahnya, kerajaan negeri akan berusaha mencari penyelesaian menggunakan sumber kewangan sedia ada bagi membantu menyalurkan bekalan air kepada penduduk di kawasan yang masih belum menerima bekalan secara optimum.
Dato' Dr. Izani juga memaklumkan, Kota Bharu Selatan turut mencatatkan penurunan kadar Air Tidak Berhasil (NRW) kepada 48 peratus, berbanding kadar kumulatif sekitar 53 peratus yang dinyatakan bagi kawasan berkaitan.
“Alhamdulillah, NRW di Kota Bharu Selatan ini turun kepada 48 peratus. Jadi antara yang terendah berbanding kadar kumulatif kita sekitar 53 peratus,” katanya.
Menurutnya lagi, antara usaha yang dilaksanakan bagi mengurangkan NRW ialah penukaran meter secara lebih agresif, termasuk menggantikan meter yang dikenal pasti perlu ditukar tanpa menunggu tempoh penggantian biasa.
“Benda yang dibuat ialah menukar meter. Walaupun tempoh biasa untuk menukar meter itu tujuh tahun, tetapi kalau dalam tempoh enam bulan atau tiga bulan meter itu sudah bermasalah, kita akan tukar. Jadi ini agak agresif kita buat,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa usaha meningkatkan bekalan air perlu dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk memperbaiki sistem paip dan meningkatkan tekanan agihan supaya kawasan yang mempunyai keperluan tinggi dapat menerima bekalan mencukupi.
Katanya, kawasan Telipot bukan sahaja melibatkan keperluan penduduk, malah turut mempunyai premis industri, sekolah dan kemudahan lain yang memerlukan bekalan air stabil.
“Kita bukan setakat penduduk sahaja, kita juga hendak membekalkan air di situ sebab ada kilang, sekolah dan banyak lagi yang memerlukan penambahbaikan di kawasan tengah bandar,” ujarnya.
Beliau berkata, penyediaan bekalan air terawat juga penting bagi mengurangkan kebergantungan penduduk terhadap sumber alternatif seperti telaga yang digunakan ketika bekalan paip tidak mencukupi.
“Bila kita tidak boleh membekalkan air dengan banyak, orang akan menggali telaga untuk mendapatkan bekalan. Tetapi bekalan itu air yang tidak terawat, sedangkan kita membekalkan air yang terawat,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap kerjasama antara AKSB dengan pihak berkaitan dapat mempercepat usaha penggantian paip lama dan penambahbaikan sistem agihan bagi memastikan lebih ramai pengguna menikmati bekalan air terawat secara berterusan.








