Accessibility Tools

Skip to main content

Penerangan EKI penting elak salah faham masyarakat terhadap undang-undang syariah – Pengarah JAHEAIK

  • 26 October 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 44

KOTA BHARU, 26 Oktober – Penerangan mengenai Enakmen Kanun Jenayah Islam (EKI) perlu dipergiat bagi memastikan masyarakat memahami peranan undang-undang syariah dalam melindungi hak, menetapkan tanggungjawab dan menjaga kebajikan masyarakat.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) Dato’ Dr. Hasnan Ramli berkata, undang-undang Islam bukan semata-mata instrumen untuk menghukum, sebaliknya mempunyai peranan lebih luas dalam menyelesaikan permasalahan masyarakat dan mencapai kesejahteraan bersama.

“Undang-undang Islam bukan semata-mata instrumen untuk menghukum, merupakan mekanisme untuk melindungi hak, menetapkan tanggungjawab, mencegah kemungkaran, menyelesaikan pertikaian dan mencapai kebajikan umum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Penerangan Enakmen Keluarga Islam 2026 (EKI 2026) Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Islam Darulnaim, Lundang, di sini, hari ini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Kelantan sejak sekian lama meletakkan Islam sebagai asas pentadbiran dan pembangunan negeri, selaras dengan prinsip Membangun Bersama Islam yang menitikberatkan keberkatan, kemakmuran serta kebajikan rakyat.

Katanya, penggubalan dan pelaksanaan undang-undang berteraskan nilai Islam merupakan langkah penting yang perlu terus mengambil kira perubahan dalam masyarakat, tanpa mengetepikan prinsip keadilan dan penyelesaian masalah.

Dalam pada itu, beliau berkata program berkenaan menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dan sektor, termasuk pemimpin masyarakat, pegawai kerajaan, pegawai masjid, pengamal undang-undang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), guru agama, pendakwah serta golongan wanita dan belia.

“Ini menunjukkan bahawa agenda pembangunan Islam merupakan pendekatan yang rentas sektor,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap peserta program dapat berperanan sebagai penyampai maklumat yang tepat kepada masyarakat di peringkat akar umbi bagi memastikan kefahaman mengenai pembangunan Islam dapat diperluas.

“Jangan kita membiarkan masyarakat mendapat maklumat berkaitan pembangunan Islam melalui sumber yang tidak sahih,” tegasnya.

Beliau turut menekankan kepentingan masyarakat merujuk jabatan agama dan saluran rasmi apabila berhadapan dengan persoalan berkaitan kefahaman Islam bagi mendapatkan penjelasan yang tepat.

Pautan berjaya disalin!