EKI 2026: Perlindungan kebajikan ibu bapa diperluas menerusi peruntukan nafkah – YB Nik Bahrum
-
26 October 2026
-
super upkn
-
39
KOTA BHARU, 26 Oktober – Enakmen Keluarga Islam 2026 (EKI 2026) memperkenalkan peruntukan berkaitan nafkah ibu bapa bagi memastikan kebajikan golongan berkenaan mendapat perhatian, khususnya apabila mereka tidak lagi berkemampuan menyara kehidupan sendiri.
Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Nik Bahrum Nik Abdullah berkata, peruntukan itu memberikan kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan anak atau cucu membayar nafkah kepada ibu bapa, termasuk datuk dan nenek.
Menurutnya, langkah tersebut merupakan antara pembaharuan dalam undang-undang keluarga Islam yang mengambil kira keperluan melindungi ibu bapa apabila tanggungjawab nafkah dan penjagaan diabaikan.
“Dalam Islam, kita tahu bahawa tanggungjawab anak terhadap ibu bapa telah ditetapkan. Ia tidak berkaitan sebenarnya dengan penggubalan sesuatu undang-undang ini.
“Tetapi apabila tanggungjawab itu diabaikan, undang-undang perlu menyediakan mekanisme untuk mendapatkan hak dan perlindungan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Penerangan Enakmen Keluarga Islam 2026 (EKI 2026) Peringkat Negeri Kelantan bertemakan Memperkasa dan Mempromosi Syariah Demi Keharmonian Keluarga Islam di Dewan Besar Sultan Ismail Petra, Kompleks Islam Darulnaim, Lundang, di sini, hari ini.
Beliau menegaskan, isu kebajikan ibu bapa yang semakin berusia perlu diberikan perhatian kerana terdapat golongan yang tidak lagi berupaya bekerja, mengalami kemerosotan kesihatan dan bergantung kepada bantuan orang sekeliling untuk meneruskan kehidupan.
Menurutnya, pengalaman bertemu masyarakat di peringkat akar umbi turut memperlihatkan keadaan warga emas yang memerlukan bantuan bagi memenuhi keperluan harian.
Beliau turut menegaskan bahawa tanggungjawab menjaga ibu bapa sewajarnya dilaksanakan dengan kerelaan tanpa perlu membawa perkara tersebut ke mahkamah.
“Kita tentu tidak mahu sampai seorang ibu yang telah membesarkan beberapa orang anak terpaksa datang ke mahkamah untuk menuntut nafkah daripada anak-anak sendiri.
“Atau seorang bapa yang dahulunya bersusah payah menyara keluarga, akhirnya terpaksa pula mengemukakan tuntutan terhadap anak yang pernah dibesarkan,” ujarnya.
Tambahnya, keadaan sedemikian bukan sahaja melibatkan kesusahan hidup, malah boleh memberikan kesan kepada perasaan ibu bapa apabila anak sendiri tidak lagi mengambil berat terhadap kebajikan mereka.
“Namun, apabila keadaan itu sesungguhnya benar-benar berlaku dan memang itulah yang berlaku dalam masyarakat, undang-undang perlu memberikan jalan penyelesaian,” ujaenya.
Dalam pada itu, beliau berkata penggubalan undang-undang keluarga Islam perlu mengambil kira realiti masyarakat supaya peruntukan yang diperkenalkan bukan sahaja jelas dari segi prinsip, malah dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Berdasarkan pengalamannya selama sepuluh tahun terlibat dalam badan berkaitan pindaan undang-undang keluarga Islam, beliau berkata sesuatu peruntukan yang kelihatan jelas ketika dibincangkan belum tentu mudah dilaksanakan apabila berhadapan dengan keadaan sebenar.
“Pengalaman seperti inilah sebenarnya yang menjadikan saya sentiasa berpandangan bahawa penggubalan undang-undang tidak boleh terpisah daripada realiti pelaksanaan,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan penambahbaikan prosedur mahkamah bagi memudahkan masyarakat memahami proses permohonan, menyediakan dokumen yang diperlukan dan mengurangkan keperluan hadir berulang kali untuk menyelesaikan sesuatu kes.
Katanya lagi, terdapat pihak yang terpaksa mengambil cuti bekerja, menanggung kos perjalanan dan mengurus tanggungan keluarga sepanjang berurusan di mahkamah.
“Bagi mereka yang berkemampuan, mungkin hal ini tidaklah terlalu menggusarkan. Tetapi bagi seorang ibu tunggal yang bekerja dengan pendapatan kecil, setiap hari perlu mengambil cuti atau meninggalkan pekerjaan, ada kesan kepada kehidupan sehariannya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan proses mahkamah perlu diperkemas supaya urusan masyarakat menjadi lebih teratur, mudah difahami dan tidak membebankan pihak yang terlibat, tanpa mengabaikan keadilan serta hak masing-masing.
Program berkenaan turut menampilkan slot Memahami Enakmen Keluarga Islam 2026 – Hak, Tanggungjawab dan Perlindungan Keluarga oleh Timbalan Pengarah Bahagian Undang-Undang, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Khairiah Mohamed serta slot Aplikasi Enakmen Keluarga Islam 2026 dalam Kehidupan Keluarga oleh Peguam Adib Saat.
Turut hadir Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Kelantan YB Zawawi Ghazali, Ketua Hakim Syarie Negeri Kelantan Yang Amat Arif Dato’ Ibrahim Deris dan Pengarah JAHEAIK Dato’ Dr. Hasnan Ramli.














