Accessibility Tools

Skip to main content

Lebih 1000 huffaz sertai Himpunan Huffaz Rabbani Kelantan 2026

  • 26 October 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 44

KOTA BHARU, 26 Oktober - Lebih 1000 huffaz terdiri daripada pelajar sekolah di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK), institusi tahfiz swasta, alumni huffaz serta guru tahfiz berhimpun pada Program Himpunan Huffaz Rabbani Kelantan 2026 bersempena sambutan 36 tahun Membangun Bersama Islam di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, Sabtu lalu.

Program bertemakan 'Rabbani Mendepani Keperluan Ummah' itu dirasmikan Menteri Besar YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud.

Dalam ucapannya, Dato' Mohd Nassuruddin berkata, Kelantan terus melakar sejarah dalam perkembangan institusi pendidikan tahfiz di negara ini menerusi dasar pentadbiran yang digagaskan sejak 1990.

Katanya, antara pendekatan yang diperkenalkan ialah aliran Tahfiz Wal-Qiraat, Tahfiz Sains dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz.

Menurutnya, Himpunan Huffaz Rabbani dapat mempertemukan huffaz daripada pelbagai latar belakang dan menjadi wadah menyatukan tekad serta memperbaharui komitmen dalam memartabatkan al-Quran sebagai panduan kehidupan dan asas pembangunan ummah.

“Bersempena majlis yang diadakan ini, marilah kita memperbaharui hubungan kita dengan al-Quran. Kita hendaklah bertanya kepada diri kita sendiri, apakah al-Quran semakin menghidupkan hati kita, apakah hafazan kita semakin membentuk akhlak kita, apakah ilmu yang kita peroleh telah memberi manfaat kepada keluarga kita, masyarakat dan juga negeri kita,” katanya.

Beliau menegaskan, hubungan manusia dengan al-Quran tidak seharusnya terhenti pada membaca dan menghafaz semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan menerusi penghayatan dan amalan dalam kehidupan.

“Kita mesti bergerak daripada hafazan kepada penghayatan, daripada penghayatan kepada amalan dan daripada amalan kepada usaha menyampaikan petunjuk Allah kepada seluruh manusia.

“Inilah semangat yang ingin kita hidupkan melalui Himpunan Huffaz Rabbani Kelantan ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua huffaz, khususnya alumni yang pernah mendapat pendidikan di bawah YIK, atas kesudian menghadiri dan menjayakan program berkenaan.

Katanya, sebahagian alumni berkenaan kini menceburi pelbagai bidang termasuk pendidikan, pentadbiran, perniagaan, kesihatan, teknologi dan undang-undang, sama ada di Kelantan mahupun di luar negeri.

“Ada yang berkhidmat di Kelantan dan ada juga yang bertugas di luar negeri. Walaupun kita telah membawa haluan kerjaya masing-masing, satu perkara yang mengikat kita bersama ialah kitab suci al-Quran,” jelasnya.

Dalam majlis itu, sebanyak 11 penerima daripada kategori institusi tahfiz, guru tahfiz dan Tokoh Alumni Huffaz turut menerima anugerah sebagai penghargaan terhadap komitmen serta sumbangan mereka dalam melahirkan generasi huffaz yang berdisiplin, berilmu dan berpegang teguh kepada ajaran al-Quran.

Bagi kategori institusi, Anugerah Maahad Tahfiz Terbaik (Kerajaan) diberikan kepada Maahad Tahfiz al-Quran Wal Qiraat, Pulai Chondong, manakala Anugerah Maahad Tahfiz Terbaik (Swasta) dimenangi Maahad Tahfiz al-Quran Abu Bakar Kubang Gendang (MATAB).

Bagi kategori guru tahfiz, penerima Anugerah Guru Tahfiz Terbaik Lelaki (Kerajaan) ialah Suhaimi Sulaiman, manakala Anugerah Guru Tahfiz Terbaik Lelaki (Swasta) diberikan kepada Md Zahid Mahmood.

Anugerah Guru Tahfiz Perempuan (Kerajaan) pula diterima Masipah Mat Soh, manakala Anugerah Guru Tahfiz Perempuan (Swasta) diberikan kepada Zulaikha Mohd Zuki.

Sementara itu, lima tokoh alumni huffaz menerima pengiktirafan berdasarkan sumbangan dan kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

Mereka ialah Ustaz Abdul Khair Jalil bagi bidang tarannum dan qiraat; Tengku Shahrizam Tuan Lah (profesional); Prof Madya Dr Nik Md Saiful Azizi Nik Abdullah (pendidikan); Khirul Anuar Mohamadiah (usahawan) dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari (kemasyarakatan).

Pautan berjaya disalin!