Accessibility Tools

Skip to main content

Dato' Siti Zailah seru rakyat pastikan Kelantan dipimpin ulama, kekalkan dasar MBI

  • 25 October 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 37

KOTA BHARU, 25 Oktober — Ahli Parlimen Rantau Panjang YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff menyeru masyarakat agar bersama-sama memastikan Kelantan terus berada di bawah kepimpinan ulama dengan mengekalkan Dasar Membangun Bersama Islam (MBI) sebagai teras pentadbiran dan panduan kehidupan rakyat.

Beliau berkata, kesinambungan dasar yang dilaksanakan sejak 36 tahun lalu memerlukan komitmen seluruh masyarakat, khususnya dalam menterjemahkan nilai Islam ke dalam kehidupan seharian bermula daripada institusi keluarga.

“Harapan Kak Lah kepada semua supaya kita sama-sama menjaga negeri yang kita cintai ini kekal di bawah kepimpinan ulama dengan Dasar MBI.

“Jagalah keluarga kita supaya mencontohi Nabi Rasulullah SAW dan sentiasa berdamping dengan al-Quran untuk dijadikan panduan hidup kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Slot Kalam Tokoh Wanita pada program Wanita Kelantan Berselawat Bersama Datuk Ustazah Norhafizah Musa sempena Sambutan 36 Tahun Kelantan Membangun Bersama Islam di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, pada Jumaat lalu.

Dato' Siti Zailah yang juga penerima pengiktirafan Tokoh Suri Mithali (Suri Kepimpinan), Tokoh Sayidatina Khadijah 2017 berkata, penghayatan dasar MBI tidak seharusnya terbatas kepada sokongan terhadap dasar kerajaan negeri, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui amalan dan pembentukan sahsiah masyarakat.

Menurutnya, ketaatan kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW bukan sekadar melaksanakan ibadah khusus seperti solat dan berselawat, malah merangkumi penghayatan syariat Islam dalam seluruh aspek kehidupan.

“Ketaatan kepada Allah dan Rasul tak cukup dengan solat, selawat sahaja, segala syariat Allah kita kena daulatkan,” tegasnya.

Beliau berkata, sepanjang 36 tahun pelaksanaan dasar MBI, kerajaan negeri telah memperkenalkan pelbagai dasar pembangunan sosial berteraskan nilai Islam bagi membentuk masyarakat yang sejahtera.

Antaranya termasuk Dasar Keluarga Mawaddah, Dasar Wanita Solehah, Dasar OKU Muqarrabun, Dasar Warga Emas Mukramun dan Dasar Kanak-Kanak Fitrah.

Tegasnya, pelaksanaan dasar berkenaan memerlukan penglibatan aktif masyarakat, terutama ibu bapa dalam mendidik anak-anak supaya mencontohi akhlak Rasulullah SAW dan menjadikan al-Quran sebagai pedoman hidup.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa pembentukan wanita solehah bukan hanya bergantung pada kestabilan ekonomi, sebaliknya perlu disertai penghayatan terhadap tuntutan agama.

“Nak jadi wanita solehah ini, bukan yang hanya tenang dengan ekonomi tetapi yang tenang dengan menghayati perintah Allah,” jelasnya.

Dato' Siti Zailah turut melahirkan rasa syukur dan terharu atas penyertaan 1,383 peserta dalam program berkenaan yang disifatkannya sebagai manifestasi kecintaan masyarakat terhadap Rasulullah SAW.

Pautan berjaya disalin!