Accessibility Tools

Skip to main content

Seni suara perlu dimanfaatkan untuk dakwah, subur kecintaan kepada Rasulullah SAW – Dato’ Mumtaz

  • 25 October 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 37

TUMPAT, 25 Oktober  – Seni suara perlu dimanfaatkan sebagai medium dakwah bagi menyemai nilai Islam dan menyuburkan kecintaan kepada Rasulullah SAW dalam kalangan masyarakat.

Ahli Parlimen Tumpat YB Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, kelebihan suara yang dikurniakan Allah SWT perlu digunakan untuk perkara yang baik, termasuk menggalakkan amalan berselawat dan mengajak masyarakat mendekati agama.

Menurutnya, setiap kelebihan yang dimiliki seseorang perlu dipandu oleh akidah supaya tidak disalahgunakan, sebaliknya dimanfaatkan untuk membawa kebaikan kepada orang lain.

“Bila orang yang mempunyai kelebihan tidak ada akidah, dia boleh menggunakan kelebihan itu untuk tujuan yang tidak baik. Sebab itu, setiap kelebihan yang dikurniakan Allah SWT perlu dipandu oleh akidah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis penutup Pertandingan Marhaban Peringkat Kawasan Tumpat yang melibatkan 12 pasukan bertanding di Dewan Asy-Syafie, Masjid Wakaf Bharu, di sini, semalam.

Beliau turut berkongsi kisah tokoh terdahulu yang menggunakan kelebihan suara dan kebolehan berkomunikasi untuk mendorong orang lain melakukan kebaikan.

Katanya, seni suara juga boleh menjadi medium untuk menyemarakkan amalan berselawat dan mengingati Rasulullah SAW, sekali gus menjadikan kelebihan tersebut sebagai satu bentuk sumbangan kepada masyarakat.

Dato’ Mumtaz turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mengabaikan nilai kemanusiaan dalam menghadapi perkembangan teknologi yang semakin pesat.

“Perkembangan teknologi tidak seharusnya menyebabkan kita mengabaikan amalan yang mendidik jiwa dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Nilai kemanusiaan perlu terus dipelihara dalam kehidupan bermasyarakat,” ujarnya.

Kumpulan Marhaban Nor Muhammad dari DUN Pasir Pekan dinobatkan sebagai johan dengan memperoleh 90 markah, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM700.

Naib johan menjadi milik Kumpulan Nurul Iman dari DUN Wakaf Bharu dengan 88 markah dan menerima RM600, manakala Kumpulan Sautun Nisa’ dari DUN Pasir Pekan menduduki tempat ketiga dengan 87 markah serta memenangi wang tunai RM500.

Pautan berjaya disalin!