Accessibility Tools

Skip to main content

Huffaz perlu bawa konsep inzar dalam masyarakat – MB Kelantan

  • 25 October 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 35

KOTA BHARU, 25 Oktober - Golongan huffaz diseru memainkan peranan lebih besar dalam masyarakat dengan membawa konsep inzar atau memberi peringatan mengenai kebenaran, kewajipan terhadap Allah SWT serta kehidupan akhirat.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, huffaz perlu bangkit sebagai penyampai peringatan, pendidik masyarakat dan pembimbing generasi, khususnya dalam mendepani pelbagai cabaran semasa.

Katanya, masyarakat hari ini berhadapan dengan pelbagai cabaran, termasuk kekeliruan dalam memahami agama, kesukaran membezakan maklumat benar dengan berita palsu serta pengaruh budaya yang boleh merosakkan akhlak.

“Justeru, di sinilah pentingnya peranan para huffaz. Mereka perlu membantu masyarakat memahami ajaran Islam dengan ilmu yang sahih. Mereka perlu menjelaskan hukum dan prinsip agama dengan hikmah."

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Huffaz Rabbani Kelantan yang diadakan bersempena sambutan 36 tahun Membangun Bersama Islam di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.

Katanya lagi, golongan huffaz juga perlu membimbing anak muda supaya mengenali kebenaran dan kebatilan berlandaskan ilmu, bukannya semata-mata emosi dan sentimen.

Menurutnya, tanggungjawab huffaz tidak seharusnya difahami dalam skop yang sempit, sekadar mengimamkan solat, memimpin bacaan al-Quran atau mengajar hafazan, walaupun semua tugas itu mempunyai nilai yang mulia.

Sebaliknya, beliau berkata, golongan itu turut berperanan membantu masyarakat memahami mesej al-Quran dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk ekonomi dan tanggungjawab sosial.

"Itulah antara makna besar Huffaz Rabbani, iaitu golongan yang bukan sahaja menjaga hubungan dengan Allah SWT melalui al-Quran, malah berusaha membina hubungan sesama manusia berpandukan petunjuk-Nya," katanya. 

Tambahnya, para huffaz adalah Hamalatul Quran iaitu satu gelaran yang merujuk kepada pembawa al-Quran. 

Beliau menegaskan, gelaran tersebut sepatutnya menyedarkan golongan huffaz bahawa menjadi seorang hafiz bukan sekadar memiliki kelebihan mengingati ayat suci, sebaliknya turut memikul amanah besar untuk menjaga kehormatan, tuntutan dan ajaran kitab suci itu.

“Al-Quran perlu hidup dalam diri seseorang hafiz. Apabila seorang hafiz bercakap atau bertindak, hendaklah tindak balasnya mencerminkan akhlak seorang hafiz al-Quran.

“Jangan sampai masyarakat melihat kita sebagai orang yang menghafaz al-Quran, tetapi tidak melihat keindahan akhlak al-Quran dalam kehidupan kita,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh masyarakat kembali menjadikan al-Quran sebagai asas kehidupan dengan menyebarkan ilmu dan kefahamannya supaya masyarakat dapat memahami, menghayati serta melaksanakan tuntutan kitab suci itu.

Hadir sama, Exco Pendidikan  Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dati' Wan Roslan Wan Hamat, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) Dato' Shamsul Abu Bakar, Ahli- Ahli Dewan Negeri (ADN) dan Timbalan-timbalan Pengarah YIK.

Pautan berjaya disalin!