Kelantan cadang hubungkan Sungai Lemal Lanchang- Sungai Meranti, atasi limpahan air – Dato’ Dr. Izani
-
26 October 2026
-
Oleh: Syamimi Manah | Kredit foto: Media YB Dato' Izani
-
33
RANTAU PANJANG, 26 Oktober – Kerajaan Negeri Kelantan bercadang mengemukakan cadangan menghubungkan Sungai Lemal Lanchang dengan Sungai Meranti kepada Kerajaan Persekutuan bagi membantu mengalirkan limpahan air dengan lebih berkesan hingga ke muara Sungai Pengkalan Nangka.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr Izani Husin berkata, cadangan itu diketengahkan dalam perbincangan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Kelantan sebagai ikhtiar tambahan dalam pengurusan banjir di kawasan terlibat.
Menurutnya, cadangan berkenaan akan dibawa ke peringkat seterusnya untuk dipertimbangkan sebagai salah satu permohonan Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan.
“Bagi saya, setiap cadangan yang berpotensi memberikan manfaat kepada rakyat perlu diberikan perhatian sewajarnya. Kita bukan sekadar mahu menguruskan banjir apabila ia berlaku, tetapi mahu memperkukuh ikhtiar supaya kesannya dapat dikurangkan dan keselamatan rakyat lebih terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika lawatan ke Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan PLSB Sungai Golok kini mencatatkan kemajuan 75 peratus bagi Fasa 1, dua peratus bagi Fasa 2 dan 25 peratus bagi Fasa 3, dengan keseluruhan projek disasarkan siap pada 2028.
Katanya lagi, semua ban bagi Fasa 1 telah siap dibina, manakala kerja kini tertumpu kepada baki komponen teknikal lain. Fasa 2 dan Fasa 3 pula masih dalam peringkat pelaksanaan.
Beliau menegaskan, projek berkenaan membawa harapan kepada penduduk di kawasan terlibat agar risiko limpahan air dapat dikawal dengan lebih berkesan dan kehidupan mereka lebih terjamin.
“Apabila keseluruhan ban bagi ketiga-tiga fasa siap kelak, saya yakin projek ini akan menjadi komponen penting dalam meningkatkan keupayaan pengurusan banjir di kawasan terlibat, selaras dengan kajian dan perancangan teknikal yang telah dilaksanakan,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa urusan pengambilan tanah bagi ketiga-tiga fasa telah diselesaikan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Kelantan.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada JPS Persekutuan dan JPS Negeri Kelantan atas komitmen serta usaha berterusan dalam menjayakan PLSB Sungai Golok.
“Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan agensi pelaksana amat penting bagi memastikan projek ini berjalan mengikut perancangan dan mencapai matlamatnya,” ujarnya.














