Accessibility Tools

Skip to main content

KPM perlu audit segera keselamatan sekolah – YB Ahmad Fadhli

  • 06 October 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 30

KUALA LUMPUR, 6 Oktober - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu melakukan audit segera terhadap aspek keselamatan sekolah susulan kes kematian seorang pelajar Tingkatan Empat yang ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat.

Ahli Parlimen Pasir Mas YB Ahmad Fadhli Shaari berkata, audit berkenaan perlu meliputi aspek kawalan selepas waktu persekolahan, kelas tambahan dan pemantauan kawasan sekolah.

Menurutnya, mekanisme untuk mengesan ancaman keganasan dan salah laku dalam kalangan pelajar juga perlu diberi perhatian.

“KPM perlu melakukan audit segera terhadap aspek keselamatan sekolah, khususnya kawalan selepas waktu persekolahan, kelas tambahan, pemantauan kawasan sekolah serta mekanisme mengesan ancaman keganasan dan salah laku dalam kalangan pelajar,” katanya di laman rasmi, pada Ahad.

Beliau berkata, kejadian berkenaan turut menuntut penjelasan serius daripada KPM mengenai bagaimana seorang pelajar boleh ditemukan meninggal dunia dalam kawasan sekolah serta tahap kawalan dan keselamatan yang dilaksanakan ketika itu.

YB Ahmad Fadhli turut memaklumkan bahawa pihak polis dilaporkan telah menahan tiga pelajar lelaki berusia 16 tahun bagi membantu siasatan.

Katanya lagi, siasatan perlu diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk dijalankan secara profesional dan menyeluruh tanpa sebarang spekulasi atau tindakan yang mendahului proses undang-undang.

Dalam pada itu, beliau merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa, khususnya nenek yang menjadi penjaga pelajar berkenaan.

Beliau berkata, sekolah sepatutnya menjadi antara tempat paling selamat untuk anak-anak kerana ibu bapa menghantar mereka ke sekolah dengan kepercayaan bahawa keselamatan mereka akan dijaga.

“Kepercayaan ini tidak boleh dibiarkan terhakis. Jika terdapat kelemahan sistem, akuilah dan perbaikilah. Jangan tunggu satu lagi nyawa melayang sebelum tindakan lebih tegas diambil,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!