KTD bentuk graduan gabungan iman-teknologi
-
06 October 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
33
KOTA BHARU, 6 Oktober - Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) mempunyai tanggungjawab besar dalam membentuk graduan yang mampu menggabungkan iman dan teknologi dalam kehidupan serta kerjaya.
Sehubungan itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata, KTD mempunyai potensi besar untuk membina manusia yang tidak perlu memilih antara iman dan teknologi, sebaliknya menggabungkan kedua-duanya dalam kehidupan dan kerjaya.
"Kita mahu graduan yang boleh mengendalikan teknologi tetapi tidak dikendalikan oleh teknologi. Kita mahu graduan yang boleh menggunakan kecerdasan buatan (AI) tetapi tidak menyerahkan seluruh pemikirannya kepada AI.
"Kita mahu graduan yang celik digital tetapi juga celik adab, kompeten dalam pekerjaan dan pada masa yang sama boleh dipercayai."
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen KTD Kali Ke-8 dan Konvokesyen KTD Cawangan Kuala Lumpur Kali Ke-3 yang bertemakan 'Sinergi Iman dan Teknologi Memacu Peradaban Insani' di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, di sini, pada Ahad.
Sebanyak 174 graduan menerima diploma pada majlis konvokesyen berkenaan.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan pembangunan teknologi perlu berjalan seiring dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar.
Katanya, perkara itu selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah al-A'raf, ayat 56 yang bermaksud "Dan janganlah kamu membuat kerosakan di bumi setelah Allah memperbaikinya."
Katanya, ayat tersebut sangat relevan dengan dunia moden hari ini.
"Kita bercakap tentang ekonomi digital, pembangunan industri, kecerdasan buatan dan bandar pintar, namun pada masa yang sama kita mesti bertanya,
apakah kesan pembangunan kita terhadap alam yang akan diwariskan kepada generasi selepas kita?
"Kita bukan pemilik mutlak bumi ini. Kita ialah pemegang amanah. Maka teknologi hijau bukan sekadar satu trend, tetapi sebahagian daripada tanggungjawab kita kepada generasi akan datang.
"Sama ada dalam pengurusan sisa, penggunaan tenaga boleh baharu mahupun pemeliharaan ekosistem tempatan di Kelantan, inovasi mesti sentiasa bergerak seiring dengan kelestarian," jelasnya.














