Accessibility Tools

Skip to main content

RM58,000 Khairat Kifalah diserahkan kepada waris di DUN Kemahang

  • 06 October 2026
  • Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Media PKD Kemahang
  • 27

KOTA DARULNAIM, 6 Oktober - Sebanyak RM58,000 telah diserahkan kepada waris atau wasi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemahang melalui Skim Khairat Kifaalah Kerajaan Negeri Kelantan sejak awal tahun hingga hari ini, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemahang YB Mejar (B) Dato' Md Anizam Abdul Rahman.

Katanya, inisiatif berkenaan bertujuan membantu waris peserta yang meninggal dunia, sekali gus sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung keluarga.

"Bantuan ini tidak mungkin dapat mengembalikan insan yang telah pergi, namun sekurang-kurangnya dapat membantu keluarga dalam menghadapi urusan dan keperluan selepas kehilangan orang tersayang," katanya menerusi media sosial, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata masih terdapat ibu bapa berusia 55 tahun ke atas yang belum mendaftar dengan Skim Khairat Kifaalah.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak, khususnya anak-anak dan ahli keluarga terdekat, memastikan ibu bapa yang layak mendapatkan pendaftaran supaya manfaat berkenaan dapat diterima apabila diperlukan.

"Semoga inisiatif Kerajaan Negeri Kelantan ini terus memberi manfaat kepada rakyat dan membantu meringankan beban keluarga yang sedang berdepan dengan kehilangan insan tersayang.

"Jangan tunggu berlaku musibah, pastikan ibu bapa kita sudah berdaftar," katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan Kifaalah kepada lapan orang wasi di Pusat Khidmat DUN Kemahang pada Ahad.

Pautan berjaya disalin!