30 ibu DUN Kemahang dirai menerusi Program Cakna Hawa
-
05 October 2026
-
Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: FB YB Dato' Mejar Anizam
-
26
KOTA DARULNAIM, 5 Oktober — Sebanyak 30 ibu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemahang dirai menerusi Program Cakna Hawa sebagai penghargaan terhadap pengorbanan dan sumbangan wanita yang membantu memperkukuh kesejahteraan serta ekonomi keluarga.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemahang merangkap Exco Kerajaan Negeri Kelantan YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam Abdul Rahman berkata, program berkenaan memberi perhatian khusus kepada golongan isteri yang menguruskan rumah tangga, membesarkan anak-anak dan turut membantu suami mencari rezeki.
Menurutnya, sumbangan golongan ibu mungkin tidak sentiasa terlihat, namun peranan mereka amat besar dalam memastikan kelangsungan dan kesejahteraan sesebuah keluarga.
“Begitulah kehidupan berumah tangga, bukan semuanya perlu dipikul seorang diri. Apabila masing-masing memahami peranan dan saling menyokong, insya-Allah cabaran keluarga dapat dihadapi dengan lebih baik,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Beliau berkata, Program Cakna Hawa menjadi antara inisiatif untuk mengiktiraf wanita yang memainkan peranan penting dalam membantu ekonomi keluarga di samping melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu dan isteri.
“Mereka bukan sahaja menguruskan rumah tangga dan anak-anak, malah sanggup bekerja dan berusaha mencari pendapatan tambahan demi memastikan keperluan keluarga terus terjaga,” katanya.
Tambahnya, Pusat Khidmat DUN Kemahang akan terus memastikan setiap sumbangan dan bantuan diagihkan secara lebih meluas supaya manfaatnya dapat dinikmati lebih ramai penduduk yang memerlukan.
"Pendekatan pengagihan secara bersasar turut dilaksanakan dengan memberi peluang kepada keluarga yang belum pernah menerima bantuan sekiranya terdapat penerima terdahulu yang telah memperoleh manfaat daripada inisiatif sama.
“Kita cuba mengelakkan penerima yang sama menerima bantuan setiap tahun sekiranya terdapat ruang untuk diberikan kepada keluarga lain yang turut memerlukan.
“Insya Allah, dengan pendekatan ini, lebih ramai warga dapat merasai pelbagai inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan Negeri,” ujarnya.










