Tangki air baharu beri kemudahan lebih baik kepada penduduk Kampung Kok Batu - YB Kamaruzaman
-
05 October 2026
-
Oleh: Syamimi Manah | Kredit foto: Media ADN Gual Periok
-
32
RANTAU PANJANG, 5 Oktober - Penduduk Kampung Kok Batu kini menikmati kemudahan tangki air baharu hasil inisiatif Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gual Periok bagi menggantikan tangki air lama yang semakin uzur.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Gual Periok YB Kamaruzaman Mohamad berkata, beliau turun meninjau sendiri kemudahan berkenaan di kampung tersebut, hari ini.
Menurutnya, sebelum ini penduduk menggunakan tangki air lama yang keadaannya semakin uzur dan memerlukan kemudahan yang lebih baik.
“Alhamdulillah, melalui usaha dan inisiatif Pusat Khidmat DUN Gual Periok, sebuah tangki air baharu telah berjaya dibina bagi menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada penduduk setempat,” katanya di laman rasmi, hari ini.
Beliau berkata, pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat tidak semestinya melibatkan kemudahan berskala besar, sebaliknya keperluan asas yang menyentuh kehidupan seharian masyarakat turut penting.
“Bagi saya, pembangunan yang paling bermakna ialah pembangunan yang menyentuh keperluan asas rakyat. Walaupun kemudahannya sederhana, manfaatnya besar kepada kehidupan seharian masyarakat,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mendoakan agar kemudahan berkenaan dapat dimanfaatkan secara berpanjangan oleh penduduk setempat serta menyumbang kepada kehidupan yang lebih selesa dan sejahtera.












