Hari Terbuka Hospital Gua Musang hubungkan hospital dengan masyarakat - YB Dato' Rohani
-
05 October 2026
-
Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Media YB Dato' Rohani
-
48
KOTA DARULNAIM, 5 Oktober - Program Hari Terbuka Hospital Gua Musang, Pulse@HOGUM 2026 menjadi platform untuk menghubungkan hospital dengan masyarakat menerusi perkongsian ilmu dan manfaat berkaitan kesihatan.
YB Dato' Rohani berkata, program yang berlangsung pada 2 hingga 3 Oktober itu menyebabkan hubungan lebih rapat antara hospital dan masyarakat dan membolehkan lebih banyak ilmu serta manfaat dikongsi bersama.
Katanya, program seperti itu bukan sekadar memperkenalkan perkhidmatan kesihatan bahkan menjadi jambatan yang menghubungkan hospital dengan masyarakat.
"Saya berharap program sebegini dapat diteruskan dan diperbanyakkan, malah dibawa sehingga ke kampung-kampung.
"Ilmu daripada para pakar kesihatan hari ini perlu kita manfaatkan dan sebarkan kepada keluarga serta masyarakat sekeliling.
"Tidak semua berpeluang mendapatkan ilmu seperti ini. Maka, ilmu yang diperoleh jangan berhenti pada kita, tetapi biarlah menjadi manfaat untuk orang lain," katanya di media sosial, pada Ahad.
Ucapan Perasmian YB Dato' Rohani
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Hospital Gua Musang, pengarah, seluruh pasukan pelaksana serta semua rakan kolaborasi yang menjayakan program berkenaan.
Beliau berharap usaha itu dapat terus menyemarakkan kesedaran dan budaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Terdahulu, YB Dato' Rohani merasmikan Program Hari Terbuka Hospital Gua Musang, Pulse@HOGUM 2026 dengan tema “Denyut Kehidupan, Inspirasi Kesihatan” pada Sabtu.
Selesai program di hospital, beliau terus ke Gelanggang Futsal, Pusat Servik Gua Musang bagi merasmikan Kejohanan Bola Jaring Beliawanis Gua Musang.
Beliau berharap aktiviti sukan seperti ini bukan sahaja menceriakan dan menyihatkan tubuh, tetapi dapat membina anak-anak muda yang lebih yakin, berdisiplin dan mampu menjadi insan yang lebih baik.
"Dalam bersukan, jaga akhlak dan cara kita berinteraksi. Islam sangat menggalakkan umatnya menjadi sihat dan aktif, selagi kita menjaga batas syarak yang telah ditetapkan Allah SWT.
"Jaga aurat, jaga penampilan dan jaga pergaulan. Biar sukan bukan sekadar aktiviti untuk kesihatan tetapi menjadi ibadah yang mendapat pahala," katanya.
















