Bengkel hasilan ikan buka laluan usahawan agromakanan baharu
-
05 October 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
39
KOTA DARULNAIM, 5 Oktober — Bengkel Hasilan Ikan yang memberi pendedahan dan kemahiran menghasilkan keropok lekor dan ikan bekok berpotensi membuka ruang kepada lebih ramai peserta menceburi bidang keusahawanan agromakanan di Kelantan.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, Bengkel Agromakanan Siri 1: Bengkel Hasilan Ikan itu dirangka bagi membekalkan peserta dengan pengetahuan dan kemahiran praktikal dalam pemprosesan produk berasaskan ikan.
Menurutnya, penguasaan kemahiran tersebut bukan sahaja membolehkan peserta menghasilkan produk makanan, malah boleh menjadi asas untuk membangunkan perusahaan dan menjana pendapatan menerusi sektor agromakanan.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail
“Bengkel ini disusun untuk memberi pendedahan dan kemahiran kepada peserta dalam penghasilan produk agromakanan berasaskan ikan,” katanya menerusi media sosial selepas merasmikan bengkel berkenaan, semalam.
Program anjuran Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Kelantan Biotech Corporation Sdn. Bhd. dan Akademi Perikanan Malaysia, Chendering, Terengganu itu disertai 20 peserta.
Sepanjang bengkel, peserta diberi pendedahan secara praktikal mengenai penghasilan keropok lekor dan ikan bekok dengan bimbingan tenaga pengajar daripada Akademi Perikanan Malaysia.
Dato’ Tuan Mohd Saripudin berkata, kemahiran pemprosesan hasil ikan mempunyai potensi untuk dikembangkan kepada aktiviti keusahawanan, sekali gus menambah nilai kepada sumber perikanan menerusi penghasilan produk agromakanan.
Beliau berharap peserta tidak berhenti setakat memperoleh kemahiran menerusi bengkel, sebaliknya memanfaatkan pengetahuan tersebut sebagai asas untuk meneroka peluang perniagaan.
“Semoga ilmu dan kemahiran yang diperoleh melalui bengkel ini dapat dimanfaatkan sebaiknya, seterusnya membuka peluang kepada peserta untuk menceburi bidang keusahawanan serta melahirkan lebih ramai usahawan agromakanan di Negeri Kelantan,” katanya.












