Accessibility Tools

Skip to main content

19 usahawan DUN Kemahang terima manfaat Bantuan Gerakan Berdikari Rakyat Kelantan

  • 05 October 2026
  • Oleh: Syamimi Manah | Kredit foto: Media PKD Kemahang
  • 29

KOTA DARULNAIM, 5 Oktober - Sebanyak 19 usahawan di DUN Kemahang menerima manfaat Bantuan Gerakan Berdikari Rakyat Kelantan IKS dan Usahawan Pertanian menerusi agihan bantuan berupa peralatan bagi membantu meningkatkan produktiviti serta memudahkan urusan kerja dan perniagaan.

Agihan bantuan berkenaan berlangsung di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kemahang, semalam.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemahang YB Dato’ Mejar (B) Md Anizam Ab Rahman berkata, bantuan itu turut mengambil kira masyarakat yang menjadikan perniagaan kecil-kecilan, tanaman dan aktiviti pertanian sebagai sumber pendapatan.

“Kita sedar bukan semua mempunyai pekerjaan tetap. Ada dalam kalangan masyarakat yang memilih untuk mencari rezeki melalui perniagaan kecil-kecilan, mengusahakan tanaman dan aktiviti pertanian.

“Walaupun bermula secara kecil, usaha ini tetap menjadi sumber pendapatan penting untuk membantu keluarga dan meneruskan kehidupan,” katanya di laman rasmi, semalam.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa berusaha menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan sokongan kepada rakyat mengikut keperluan.

Katanya, bantuan seperti itu diharapkan dapat mengurangkan beban, meningkatkan kemampuan usahawan serta memberi ruang kepada mereka untuk mengembangkan lagi usaha yang sedang dijalankan.

“Insya Allah, kita mahu setiap lapisan masyarakat mendapat perhatian dan peluang untuk memperbaiki kehidupan.

“Semoga bantuan yang diterima ini dapat dimanfaatkan sebaiknya dan menjadi pemangkin kepada usaha yang lebih maju serta pendapatan yang lebih baik pada masa akan datang,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!