Accessibility Tools

Skip to main content

Ilmu, teknologi perlu dipandu iman, akhlak dan integriti

  • 05 October 2026
  • Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Media YB Dato' Wan Roslan
  • 35

KOTA BHARU, 5 Oktober — Penguasaan ilmu dan teknologi dalam kalangan graduan perlu sentiasa dipandu oleh iman, akhlak serta integriti supaya kemajuan yang dicapai bukan sekadar melahirkan individu pintar, malah insan yang boleh dipercayai dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, perkembangan teknologi yang semakin pesat menuntut graduan mempunyai prinsip dan nilai yang kukuh agar ilmu serta kepakaran yang dimiliki digunakan secara bertanggungjawab.

“Dunia tidak hanya memerlukan orang yang berilmu semata-mata tetapi dunia memerlukan orang berilmu yang boleh dipercayai.
“Dunia tidak hanya memerlukan orang pintar tetapi orang pintar yang mempunyai hati dan prinsip,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) Kali Ke-8 dan Konvokesyen KTD Cawangan Kuala Lumpur Kali Ke-3 bertemakan ‘Sinergi Iman dan Teknologi Memacu Peradaban Insani’ di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji di sini, semalam.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat

Menurutnya, graduan perlu memahami bahawa jawatan, pangkat, harta dan teknologi sentiasa berubah mengikut masa manakala akhlak, kebaikan serta manfaat yang ditinggalkan kepada masyarakat menjadi ukuran lebih bermakna dalam kehidupan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan graduan supaya tidak melihat diploma atau ijazah sebagai noktah kepada proses pendidikan, sebaliknya terus meningkatkan ilmu dan kemahiran bagi menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi serta keperluan semasa.

“Maka gunakanlah ilmu sebagai cahaya, teknologi sebagai alat, iman sebagai kompas dan akhlak sebagai benteng.
“Kerana akhirnya, kejayaan seorang graduan bukan hanya diukur pada berapa tinggi dia mampu naik tetapi pada berapa ramai manusia yang menjadi lebih baik kerana kehadirannya,” katanya.

YB Dato’ Wan Roslan turut menggariskan lima pesanan kepada graduan iaitu tidak berhenti belajar, menggunakan teknologi berlandaskan nilai dan etika, tidak takut menghadapi kegagalan, menghargai ibu bapa serta guru dan menjadi insan yang memberi manfaat kepada orang lain.

Katanya, graduan perlu membudayakan pembelajaran sepanjang hayat kerana kelayakan akademik yang diperoleh bukan lesen untuk berhenti menimba ilmu, khususnya dalam mendepani perubahan dunia pekerjaan dan perkembangan teknologi.
Beliau turut mengingatkan mereka supaya tidak membiarkan teknologi mengambil alih pertimbangan hati nurani, sebaliknya menjadi pengguna serta pencipta teknologi yang bertanggungjawab dan beretika.

Dalam menghadapi kegagalan pula, graduan disaran melihat setiap cabaran sebagai ruang untuk belajar, memperbaiki kelemahan dan membina ketahanan diri. Jika jatuh, bangun. Jika tersilap, belajar. Jika gagal, perbaiki,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan graduan supaya sentiasa menghargai pengorbanan ibu bapa dan guru serta tidak melupakan asal-usul meskipun mencapai kejayaan tinggi.

“Setinggi mana saudara terbang, jangan lupa akar. Orang yang tahu menghargai asal-usulnya biasanya lebih tahu bagaimana hendak membawa dirinya ketika berada di tempat yang tinggi,” ujarnya.

Beliau turut menyeru graduan supaya mengubah kerangka pemikiran daripada sekadar memikirkan peluang yang boleh diperoleh kepada usaha mengenal pasti sumbangan yang mampu diberikan kepada masyarakat.

Untuk rekod, KTD menawarkan pelbagai program diploma yang diiktiraf Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan diakreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), antaranya Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Diploma Reka Bentuk Multimedia, Diploma Pengurusan Perniagaan, Diploma Syariah serta Diploma Pengajian al-Quran dan al-Sunnah.

Hadir sama, Pengarah EQ Resources Sdn. Bhd. Dr Abdullah Sudin Abdul Rahman, Ketua Eksekutif KTD Dr Nik Kamaruzaman Abdull Latiff serta barisan Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan KTD.

Pautan berjaya disalin!