AMRAQ bawa pendekatan Al-Quran menerusi eksplorasi alam – Ridhuwan Che Musa
-
04 October 2026
-
Oleh: Syamimi Manah | Kredit foto: Media AMRAQ
-
45
DABONG, 4 Oktober - Anak Muda Rakan Al-Quran (AMRAQ) membawa pendekatan penghayatan al-Quran menerusi aktiviti eksplorasi alam bagi memberi pengalaman berbeza kepada golongan muda dalam membina diri dan memahami keindahan ciptaan Allah SWT.
Penolong Pengarah Kanan Urus setia Belia dan Sukan (U-BeS) Ridhuwan Che Musa berkata, pendekatan tersebut menggabungkan penghayatan al-Quran dengan pengalaman berada di lapangan, khususnya menerusi aktiviti yang melibatkan alam semula jadi.
“AMRAQ membawa pendekatan penghayatan al-Quran melalui aktiviti eksplorasi alam supaya golongan muda mendapat pengalaman yang berbeza dalam membina diri serta memahami keindahan ciptaan Allah SWT.
“Pendekatan ini menggabungkan penghayatan al-Quran dengan pengalaman berada di lapangan, khususnya melalui aktiviti yang melibatkan alam semula jadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika program Quranic Ekspedisi Dabong anjuran AMRAQ yang menghimpunkan sebanyak 70 peserta dalam kalangan belia dan beliawanis di sekitar Dabong, pada 2 Oktober.
Peserta memulakan perjalanan dengan menaiki kereta api dari Stesen Wakaf Bharu seawal pukul 4.00 pagi sebelum meneruskan perjalanan ke Dabong bagi menyertai aktiviti yang telah disusun.
Ridhuwan berkata, AMRAQ merupakan komuniti bestari (smart community) anak muda Kelantan yang menjadi ruang kepada golongan muda untuk bersama-sama dalam aktiviti pembangunan belia.
“Melalui Quranic Ekspedisi Dabong, peserta bukan sahaja dapat meneroka keunikan alam sekitar menerusi aktiviti ATV, flying fox dan penerokaan gua, malah dapat membina pengalaman serta jaringan dalam kalangan anak muda.
“Pendekatan seperti ini juga selari dengan usaha membawa golongan muda mendekati al-Quran dalam suasana yang lebih luas dan bukan hanya melalui pengisian berbentuk teori,” jelasya.
Program berkenaan turut memberi peluang kepada peserta merasai pengalaman aktiviti luar dalam suasana alam semula jadi, selain meneroka keunikan kawasan Dabong.
Dalam pada itu, Ridhuwan berkata, aktiviti di kawasan seperti Dabong membuka ruang untuk mengetengahkan potensi Kelantan sebagai lokasi aktiviti lasak dan eksplorasi dalam kalangan anak muda.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) Dabong YB Ku Zaki Ku Hussin kerana sudi menerima kunjungan rombongan AMRAQ.
“Terima kasih kepada YB Ku Mohd Zaki yang sudi menerima kunjungan kami serta menyediakan penempatan dan makan minum kepada peserta sepanjang berada di Dabong,” ujarnya.












