Kelantan galak wanita lahir lebih empat anak - Dato' Rohani
-
04 October 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
90
PASIR PUTEH, 4 Oktober - Kerajaan Kelantan menggalakkan wanita melahirkan lebih ramai anak iaitu melebihi empat orang, susulan terdapat gerakan ketika ini yang menggalakkan pembatasan kadar kelahiran.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Dato' Rohani Ibrahim berkata, golongan muda ketika ini mungkin berasa terbeban untuk mempunyai anak yang ramai, namun keadaan itu boleh berubah apabila mereka memasuki usia lebih lanjut.
"Orang muda sekarang sukalah kalau tidak beranak ramai kerana mereka mungkin rasa serabut anak ramai tetapi apabila masuk umur 50 mereka akan rasa kehilangan, rasa tidak ada orang untuk membantu.
"Tetapi kalau ada anak ramai, sekurang-kurangnya boleh tolong hulur air masak untuk kita telan ubat.
"Kalau dua orang sahaja, seorang belajar dan seorang bekerja, maka tinggal kita seorang."
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Santuni Warga Emas sempena Sambutan Hari Warga Emas Sedunia di Pondok Haji Yaacob Samba, di sini, pada 1 Oktober.
Menurutnya, program Santuni Warga Emas menjadi platform untuk kerajaan negeri bertemu secara langsung dengan golongan warga emas dalam usaha meneruskan hubungan silaturahim.
"Melalui program Santuni Warga Emas ini dapat jumpa mata dalam usaha meneruskan hubungan silaturahim antara pihak Kerajaan Negeri dengan insan-insan istimewa warga emas ini," katanya.
Jelasnya, Kelantan kini mempunyai 223,600 warga emas berusia 60 tahun ke atas, manakala Pasir Puteh berada di tangga ketujuh dengan jumlah 14,300 warga emas.
Ujarnya, kerajaan negeri turut mewujudkan Dasar Warga Emas Mukramun bagi memastikan golongan berkenaan merasakan diri mereka dihargai dan tidak diketepikan.
Tambahnya, Malaysia kini sedang menuju ke arah negara menua, dengan jangkaan sebelum ini pada 2030 berubah kepada 2037.
"Mula-mula keluar statistik 2030 Malaysia menuju ke negara menua, namun naik ke tahun 2037 Malaysia menuju negara menua sebab ramai orang melahirkan anak, menjadikan Malaysia lambat sedikit menjadi negara menua," jelasnya.










