Accessibility Tools

Skip to main content

Ekspedisi Dabong: Pengalaman di lapangan bentuk kefahaman dan tanggungjawab anak muda – YB Ku Zaki

  • 04 October 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 74

DABONG, 4 Oktober - Pengalaman berada di lapangan penting dalam membentuk kefahaman dan tanggungjawab anak muda terhadap masyarakat, selain memberi ruang kepada mereka mengenali keunikan alam serta komuniti setempat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Dabong YB Ku Zaki Ku Hussin berkata, anak muda perlu memanfaatkan setiap pengalaman yang diperoleh untuk membina ilmu dan kekuatan masyarakat, selaras dengan peranan manusia sebagai khalifah di muka bumi.

Menurutnya, golongan muda perlu menimba ilmu dan perlu memahami tanggungjawab untuk menyumbang kepada masyarakat serta membantu menangani pelbagai permasalahan yang berlaku di sekeliling mereka.

“Peranan kita sebagai khalifah di muka bumi, tugas adik-adik semua adalah bina kekuatan daripada kampung kita dalam masyarakat kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program ADN Belia: Ekspedisi Kepimpinan yang berlangsung di sekitar Dabong pada 2 dan 3 Oktober.

Program berkenaan dianjurkan oleh ADN Belia Kelantan, manakala Anak Muda Rakan Al-Quran (AMRAQ) turut menganjurkan program Quranic Ekspedisi Dabong pada 2 Oktober.

Secara keseluruhan, kedua-dua program berkenaan melibatkan 70 peserta dalam kalangan anak muda.

YB Ku Mohd Zaki berkata, pengalaman yang diperoleh menerusi aktiviti lapangan perlu diterjemahkan dalam kehidupan bermasyarakat, termasuk melalui usaha menjaga dan membina kekuatan komuniti setempat.

Katanya, anak muda yang diberi amanah kepimpinan juga perlu memahami bahawa kedudukan tersebut datang bersama tanggungjawab dan tidak boleh disalahgunakan.

“Jadi tanggungjawab kita untuk memastikan negeri kita, negara kita berada dalam keadaan yang baik,” ujarnya.

Program berkenaan memberi peluang kepada peserta mengikuti aktiviti caving dan ATV, flying fox, pendakian Kem Baha, Gunung Stong serta Kajian Lapangan Komuniti DUN Dabong sempena Karnival Cakna Rakyat.

Dalam pada itu, Setiausaha Ahli Dewan Negeri (ADN) Belia Kelantan Osama Laden berkata, setiap aktiviti perlu dimulakan dengan niat yang baik supaya pengalaman yang diperoleh bukan sekadar aktiviti, sebaliknya memberi manfaat kepada pembangunan anak muda.

Setiausaha Ahli Dewan Negeri (ADN) Belia Kelantan, Osama Laden

Beliau berkata, peserta juga perlu membawa pulang pengalaman sepanjang berada di Dabong dan berkongsi keunikan kawasan berkenaan apabila kembali ke tempat masing-masing.

“Kita ambil sebanyak mana peluang yang ada untuk bersama-sama dengan rakan-rakan, mahasiswa dan ahli yang kita kenal. Saya harap kita jadikan ini sebagai pengalaman dan apabila balik ke tempat masing-masing, ceritakan apa yang ada di Dabong dan apa yang istimewanya Dabong,” katanya.

Menurutnya lagi, ruang dan peluang yang disediakan menerusi pelbagai program pembangunan belia perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan muda bagi membina pengalaman, jaringan serta kemahiran kepimpinan.

Pautan berjaya disalin!