160 warga emas Pondok Haji Yaacob Samba disantuni
-
04 October 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
56
KOTA DARULNAIM, 4 Oktober - Sebanyak 160 warga emas penghuni Pondok Haji Yaacob Samba, Pasir Puteh disantuni menerusi Program Santuni Warga Emas anjuran Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KEKWA), sempena sambutan Hari Warga Emas pada 1 Oktober.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato' Rohani Ibrahim berkata, program berkenaan diadakan bagi menyantuni golongan warga emas selain mendekati mereka dan memastikan mereka berasa dihargai serta sentiasa diingati masyarakat.
"Program sebegini diadakan untuk menyantuni warga emas, mendekati mereka dan paling penting, membuatkan mereka merasakan bahawa diri mereka masih bernilai, dihargai dan sentiasa ada dalam ingatan masyarakat.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Dato' Rohani Ibrahim
"Dalam kehidupan, kita juga perlu ada perancangan. Bukan sekadar merancang untuk hari ini, tetapi bagaimana kita mahu mengisi usia dengan perkara yang bermanfaat dan meninggalkan kebaikan kepada orang lain," katanya di media sosial, pada Jumaat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Pondok Haji Yaacob Samba kerana menerima kehadiran pihaknya dengan penuh mesra.
"Semoga pertemuan kita pada hari ini menjadi satu kenangan manis buat semua warga emas di sini. Moga Allah panjangkan usia, kurniakan kesihatan dan terus merahmati kehidupan mereka," katanya.
Antara pengisian program ialah Slot satu: Kembali Cergas di Usia Emas yang menampilkan sesi bersama ahli fisioterapi.
Sesi berkenaan berkongsi panduan serta mengajar senaman mudah dan selamat kepada warga emas bagi membantu mengekalkan kecergasan dan menjaga kesihatan.
Slot dua pula ialah Menjaga Kesihatan dan Emosi bersama YBrs. Prof. Madya Dr. Rosnani Zakaria dari Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia.
Perkongsian itu memberi penekanan kepada kepentingan menjaga kesihatan fizikal dan emosi supaya warga emas dapat menjalani kehidupan yang lebih sihat, aktif dan sejahtera.
Program turut menampilkan Slot Khas: Cara Bahagia di Usia Emas bersama Pengerusi Persatuan Ikatan Mahabbah Kelantan, Datin Rahimah Husin.
Sesi berkenaan berbentuk sembang santai mengenai cara menjalani kehidupan dengan hati yang tenang, sentiasa ceria dan bahagia di usia emas, selain perkongsian tip mudah untuk menjaga hubungan dengan keluarga, rakan dan orang sekeliling supaya kehidupan lebih bermakna.












