Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan berhasrat laksanakan Livestock Information System

  • 03 October 2026
  • Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Media Dato' Tuan Saripudin
  • 20

KOTA DARULNAIM, 3 Oktober - Kerajaan Negeri Kelantan berhasrat membangun dan melaksanakan Livestock Information System (LIS) sebagai sistem pengurusan maklumat ternakan yang lebih bersepadu, khususnya bagi pelaksanaannya di negeri itu.

Hasrat tersebut disampaikan oleh Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dalam Mesyuarat Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama Exco-Exco Pertanian negeri-negeri Bilangan 2 Tahun 2026.

Katanya, mesyuarat berkenaan dipengerusikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan YB Datuk Seri Mohamad Sabu di Bilik Gerakan Wisma Tani, Putrajaya, pada Khamis.

"LIS penting dalam memperkukuh aspek pendaftaran dan kebolehkesanan ternakan (traceability), pemantauan pergerakan, kawalan penyakit serta penguatkuasaan di pintu masuk negara," katanya dalam media sosial, pada Jumaat.

Menurutnya, pelaksanaan LIS boleh diperkasakan menerusi penggunaan teknologi pengenalpastian ternakan seperti tag telinga, teknologi pengenalan menggunakan gelombang radio atau Radio-Frequency Identification (RFID) dan teknologi berkaitan.

Katanya lagi  teknologi berkenaan boleh diintegrasikan dengan pangkalan data berpusat bagi membolehkan maklumat serta pergerakan ternakan dijejaki dengan lebih sistematik dari sumber sehingga ke rantaian pasaran.

Tambahnya, mesyuarat itu turut membincangkan perkembangan dan pencapaian sektor pertanian negara bagi suku ketiga 2026.

"Perbincangan meliputi sektor agromakanan, penternakan, perikanan serta pembangunan modal insan dan TVET Pertanian," katanya.

Beliau berharap perancangan itu dapat digerakkan menerusi kerjasama erat antara kerajaan negeri, kementerian serta jabatan dan agensi berkaitan ke arah memperkukuh pengurusan ternakan, biosekuriti dan keterjaminan makanan negara.

Pautan berjaya disalin!