Accessibility Tools

Skip to main content

Majlis Taman sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan meriah

  • 01 October 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 44

KOTA BHARU, 1 Oktober — Majlis Taman (Raja Bersama Rakyat) sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV berlangsung meriah dengan kehadiran pelbagai lapisan rakyat Kelantan.

Suasana bertambah ceria dengan keberangkatan tiba Sultan Kelantan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, Sultanah Kelantan Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Diana Petra Abdullah, diiringi Tengku Mahkota Kelantan Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra ibni Al-Marhum Sultan Ismail Petra, Raja Perempuan Kelantan Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dan Usrah Diraja Kelantan.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud, Timbalan Menteri Besar YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Dato' Hasan dan isteri, Speaker Dewan Negeri Kelantan YB Dato' Sri Amar Diraja Dato' (Dr) Mohd Amar Abdullah, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan YBM Tengku Kaya Perkasa Dato' Dr Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal; Pegawai Kewangan Negeri YB Dato' Rosnazli Amin, Penasihat Undang-Undang Negeri YB Tuan Zawawi Ghazali, Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri serta Ahli-Ahli Dewan Negeri (ADN).

Majlis dimulakan dengan bacaan doa ysng dipimpin oleh Mufti Kerajaan Negeri Kelantan Sahibus Samahah Dato' Kaya Perba Dato' Haji Mohamad Shukri Mohamad.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan persembahan kebudayaan dan kesenian yang diselaraskan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Kelantan (JKKNK) serta Jabatan Pendidikan Negeri.

Antara persembahan yang dipentaskan ialah tarian 'Gemo Woye' oleh Kumpulan Kesenian JKKNK, tarian 'Embong Sosek' oleh pelajar prasekolah Sekolah Kebangsaan Dato' Hashim, tarian etnik Cina 'Tanglung' oleh pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua serta tarian etnik India 'Kolatun' oleh pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Pasir Gajah, Tanah Merah.

Persembahan turut diserikan dengan nyanyian lagu rakyat.

Pada majlis sama, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Muhammad V berkenan menyempurnakan beberapa pengurniaan membabitkan kecemerlangan sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPN), kecemerlangan sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK), Biasiswa Tengku Anis Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bagi kategori sekolah menengah dan sekolah rendah, Anugerah Pengakap Diraja serta Anugerah Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM).

Bagi kategori kecemerlangan sekolah JPN, Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra menerima pengiktirafan sebagai sekolah terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Raja, Pasir Mas pula dinobatkan sebagai sekolah terbaik Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Bagi kategori kecemerlangan sekolah YIK, Maahad Tahfiz al-Quran Wal Qiraat Pulai Chondong dipilih sebagai sekolah terbaik Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan  Sijil Menengah Ugama (SMU) manakala Maahad Tahfiz al-Quran Darul Saadah Lilbanat pula menerima pengiktirafan sebagai sekolah terbaik SPM.

Pautan berjaya disalin!