Pendidikan agama, arus perdana dan TVET perlu seimbang – Sultan Kelantan
-
30 September 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
33
KOTA BHARU, 30 September - Kelantan perlu konsisten mengembangkan pendidikan yang seimbang antara pendidikan agama, pendidikan arus perdana dan latihan teknikal serta vokasional bagi memastikan pembangunan fizikal dan ekonomi negeri diimbangi dengan kemajuan rakyat yang berkualiti.
KBDYMM Sultan Kelantan Sultan Muhammad V bertitah, pembangunan modal insan merupakan antara kekuatan Kelantan yang perlu terus diberi perhatian dalam memastikan kemajuan negeri turut disokong oleh pembangunan rakyat.
“Beta sedia maklum bahawa antara kekuatan Kelantan ialah pembangunan modal insan,” titah baginda pada Majlis Singgahsana sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-57 bagi tahun 2026 di Istana Balai Besar, di sini, semalam.
Baginda bertitah pendidikan yang seimbang perlu merangkumi pendidikan agama, pendidikan arus perdana serta latihan teknikal dan vokasional.
“Bagi memastikan pembangunan fizikal dan ekonomi diimbangi dengan kemajuan rakyat yang berkualiti, Kelantan perlu konsisten mengembangkan pendidikan yang seimbang antara pendidikan agama, pendidikan arus perdana dan latihan teknikal vokasional,” titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Muhammad V berkenan menzahirkan rasa sukacita dengan perkembangan terkini berhubung cadangan penubuhan Majlis Tahfiz Negara oleh Kerajaan Persekutuan.
Baginda bertitah perancangan tersebut selari dengan visi Kerajaan Negeri Kelantan untuk membina dua buah maahad tahfiz di Gua Musang dan Kuala Krai.
Pembinaan dua maahad tahfiz berkenaan akan melengkapkan kewujudan sekurang-kurangnya sebuah tahfiz kelolaan kerajaan negeri di setiap jajahan.
Sultan Muhammad V turut berharap kerajaan negeri memperoleh manfaat secara langsung daripada penubuhan Majlis Tahfiz Negara.
“Diharapkan Kerajaan Beta beroleh manfaat secara langsung daripada penubuhan Majlis Tahfiz Negara,” titah baginda.
Menurut baginda, pembangunan pendidikan perlu bergerak seiring dengan pembangunan fizikal dan ekonomi supaya kemajuan negeri turut diterjemahkan melalui peningkatan kualiti modal insan.








