Accessibility Tools

Skip to main content

Dua sekolah YIK terima pengiktirafan kecemerlangan Sultan Muhammad V

  • 01 October 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 35

KOTA DARULNAIM, 1 Oktober – Dua sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) menerima Anugerah Kecemerlangan Sekolah sempena Majlis Taman (Majlis Raja Bersama Rakyat) bersempena Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V Yang Ke-57.

Majlis tersebut berlangsung di Pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, semalam.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, pengiktirafan tersebut merupakan satu pencapaian yang membanggakan warga YIK dalam bidang pendidikan Islam.

Katanya, Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat, Pulai Chondong menerima dua pengiktirafan iaitu sebagai Sekolah Terbaik Sijil Menengah Ugama (SMU) dan Sekolah Terbaik Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Saadah Lilbanat, Ketereh pula menerima pengiktirafan sebagai Sekolah Terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya di laman rasmi, semalam.

Beliau menyifatkan pengiktirafan itu lebih bermakna apabila semua anugerah berkenaan dikurniakan oleh KDYMM Sultan Muhammad V dalam acara pengurniaan sempena majlis tersebut, termasuk wang tunai sebagai penghargaan atas pencapaian kecemerlangan sekolah berkenaan.

Dato’ Wan Roslan berkata, pencapaian berkenaan merupakan hasil kesungguhan para guru, pentadbir dan pelajar serta sokongan ibu bapa dalam menjayakan pendidikan Islam di Kelantan.

Beliau turut merakamkan tahniah dan syabas kepada seluruh warga YIK atas pencapaian tersebut.

“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada seluruh warga YIK untuk terus melakar kecemerlangan dalam akademik, pengajian Islam dan pembentukan sahsiah generasi akan datang,” katanya.

Pautan berjaya disalin!