Accessibility Tools

Skip to main content

12 juta pengunjung domestik, 650,000 pelancong antarabangsa kunjungi Kelantan pada 2025 – Sultan Kelantan

  • 30 September 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 59

KOTA BHARU, 30 September - Kelantan merekodkan 12 juta pengunjung domestik dan 650,000 pelancong antarabangsa pada tahun 2025, mencerminkan keyakinan terhadap keunikan warisan, budaya dan produk pelancongan negeri.

KBDYMM Sultan Kelantan Sultan Muhammad V bertitah pencapaian berkenaan menunjukkan sektor pelancongan negeri terus berkembang dan mempunyai potensi untuk diperkasakan pada masa hadapan.

“Beta melihat sektor pelancongan Negeri Kelantan terus berkembang apabila merekodkan dua belas juta pelawat domestik dan enam perpuluhan lima juta pelancong pada tahun dua ribu dua puluh lima,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Singgahsana sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-57 bagi tahun 2026 di Istana Balai Besar, di sini, semalam.

Baginda bertitah pencapaian tersebut membuktikan keyakinan pelancong terhadap keunikan warisan, budaya dan produk pelancongan yang terdapat di Kelantan.

Sehubungan itu, Baginda berharap kerajaan negeri terus memperhebat usaha menarik lebih ramai pelancong antarabangsa melalui promosi yang lebih bersepadu, pengukuhan kerjasama strategik serta pembangunan produk pelancongan berimpak tinggi.

Baginda turut menekankan potensi pelancongan perubatan bertaraf antarabangsa sebagai antara produk yang boleh diberi perhatian dalam usaha memperluas sektor pelancongan negeri.

Dalam pada itu, Sultan Muhammad V bertitah perkembangan laluan penerbangan antarabangsa yang menghubungkan Kelantan dengan beberapa destinasi luar negara seperti Jakarta dan Singapura turut disambut baik.

“Beta berharap lebih banyak laluan baharu dapat diwujudkan pada masa hadapan bagi meningkatkan kebolehcapaian dan mempromosikan Kelantan sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa,” titah baginda.

Pautan berjaya disalin!