Ekonomi Kelantan berkembang 4.1 peratus, berdaya tahan - Sultan Kelantan
-
29 September 2026
-
Oleh: Norzana Razaly
-
41
KOTA BHARU, 29 September – Ekonomi Kelantan menunjukkan daya tahan apabila mencatat pertumbuhan 4.1 peratus pada 2025, meningkat berbanding 3.3 peratus pada tahun sebelumnya sekali gus mencerminkan perkembangan positif aktiviti ekonomi negeri.
KBDYMM Sultan Kelantan Sultan Muhammad V bertitah sektor perkhidmatan terus menjadi penyumbang terbesar kepada struktur ekonomi Kelantan dengan sumbangan 71.8 peratus, diikuti sektor pertanian sebanyak 19.8 peratus.
Baginda bertitah, perkembangan itu perlu diperkukuh dengan memanfaatkan projek pembangunan strategik termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal menjadi antara pemacu transformasi ekonomi negeri.
Menurut baginda, operasi ECRL yang dijangka bermula pada Januari 2027 membuka ruang kepada Kelantan untuk memperluas akses pasaran, meningkatkan kecekapan logistik serta menarik pelaburan baharu.
“Beta menggesa Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan untuk menggunakan infrastruktur ini bagi meningkatkan kecekapan logistik, meluaskan akses pasaran dan memperkukuh daya tarikan negeri sebagai destinasi pelaburan baharu yang berdaya saing,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian semasa Istiadat Menghormati Duli Yang Maha Mulia sempena Ulang Tahun Baginda Ke-57 di Istana Dewan Besar, di sini, hari ini.
Sultan Muhammad V turut berharap Kerajaan Persekutuan menaik taraf jalan-jalan utama terutama laluan yang menghubungkan pusat pembangunan transit di Bandar Baru Tunjong dengan pusat pembangunan kargo di Cherang Tuli, Pasir Puteh.
Penambahbaikan jaringan jalan itu penting bagi memastikan manfaat ECRL tidak terhad kepada perkhidmatan pengangkutan semata-mata sebaliknya dapat disepadukan dengan pusat pertumbuhan ekonomi, kawasan perindustrian dan rangkaian logistik negeri.
Baginda juga bertitah, Kelantan berpotensi besar menerusi operasi dua kawasan perindustrian baharu di Machang dan Tok Bali yang dijangka bermula tahun depan di samping pelaksanaan projek pembangunan berimpak tinggi.
Perkembangan berkenaan dijangka menyediakan asas kepada pembentukan koridor ekonomi yang lebih luas apabila rangkaian rel, jalan raya, kawasan perindustrian dan pusat kargo dapat saling melengkapi.
Dalam pada itu, Sultan Muhammad V bertitah Kelantan berpotensi menjadi peneraju ekonomi biru di Pantai Timur dengan memanfaatkan sumber pesisir pantai, ekosistem maritim, sektor perikanan dan logistik secara mampan.
Pendekatan berkenaan membolehkan pembangunan ekonomi negeri diperluas melangkaui sektor konvensional dengan sumber maritim dimanfaatkan secara terancang tanpa mengabaikan kelestarian alam sekitar.
Baginda turut menzahirkan harapan supaya Geopark Stong terus dipelihara sebagai Geopark Kebangsaan dan seterusnya mendapat pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark.
Usaha itu dilihat penting bagi memastikan khazanah geologi dan biodiversiti negeri terus dipelihara di samping memperkukuh potensi sektor pelancongan berasaskan alam semula jadi.
Di samping itu, Sultan Muhammad V turut menzahirkan perkenan terhadap pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) di Kelantan bagi mewujudkan sistem pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang lebih teratur dan berkesan.
Langkah berkenaan selari dengan keperluan pembangunan negeri yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi dan mengambil kira kebersihan, kelestarian persekitaran dan kesejahteraan rakyat.
Pada akhir titah, baginda menyeru seluruh rakyat supaya bersama-sama mendoakan kemakmuran dan kesejahteraan Kelantan.
“Beta menyeru semua rakyat untuk bersama-sama berdoa agar Kelantan terus dilimpahi kemakmuran dan kesejahteraan serta dilindungi daripada segala bencana dan malapetaka,” titah baginda.








