Hubungan Raja-rakyat lambang kesepaduan Kelantan – MB Kelantan
-
29 September 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
41
KOTA BHARU, 29 September - Hubungan yang erat antara Raja dan rakyat menjadi lambang kesepaduan yang sentiasa dipelihara dalam negeri Kelantan.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, berkata keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V terhadap perkembangan negeri dan kesejahteraan rakyat mencerminkan eratnya ikatan antara Raja dengan rakyat.
Beliau berkata, hubungan yang terbina utuh itu bertepatan dengan tema sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad V yang ke-57, iaitu “Raja dan Rakyat, Berpisah Tiada”.
“Keprihatinan Tuanku terhadap perkembangan negeri dan kesejahteraan rakyat mencerminkan eratnya ikatan antara Raja dan rakyat. Hal ini bertepatan dengan tema sambutan, Raja dan Rakyat, Berpisah Tiada.
“Hubungan yang terbina utuh ini menjadi lambang kesepaduan yang sentiasa dipelihara,” katanya dalam ucapan sempena sambutan berkenaan di Istana Balai Besar, hari ini.
Menteri Besar Kelantan turut merafakkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan ikrar taat setia ke hadapan Sultan Muhammad V sempena ulang tahun keputeraan baginda.
Beliau berkata, pemerintahan Sultan Muhammad V yang berlandaskan dasar Islam serta kepimpinan dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan menjadi asas kepada kecemerlangan serta limpahan rahmat dan keberkatan Allah SWT kepada rakyat dan negeri Kelantan.
“Sesungguhnya bersamanya Tuanku di atas takhta penuh berdaulat dan kebesaran adalah dengan anugerah dan keredaan.
“Dengan pemerintahan yang teguh berlandaskan dasar Islam juga memimpin dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan Islam, Tuanku akan terus membawa kecemerlangan serta limpahan rahmat dan keberkatan Allah SWT kepada seluruh rakyat dan negeri yang dikasihi,” ujarnya.
Dato’ Mohd Nassuruddin turut melafazkan ikrar taat setia bersama seluruh warga pentadbiran dan rakyat Kelantan yang tidak berbelah bahagi ke hadapan Sultan Muhammad V.
Beliau mendoakan agar Sultan Muhammad V dan Sultanah Kelantan dikurniakan kesihatan yang berkekalan dalam kemanisan iman, selain dipelihara keselamatan dan kesejahteraan berpanjangan.
Doa turut dipanjatkan agar baginda terus bersemayam di atas singgahsana takhta negeri Kelantan Darul Naim bersama seluruh kerabat diraja dalam limpahan keselamatan, kesejahteraan dan keberkatan Allah SWT.







