Accessibility Tools

Skip to main content

Budaya politik matang, sejahtera demi kepentingan rakyat – MB Kelantan

  • 29 September 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 39

KOTA DARULNAIM, 29 September - Budaya Politik Matang dan Sejahtera mesti diterjemahkan menerusi prinsip bahawa kepentingan rakyat mesti mengatasi sentimen kepartian, agama, bangsa dan warna kulit, kata Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.

Katanya, prinsip itu selari dengan semangat Penghayatan Membangun Bersama Islam yang menjadi teras pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan.

"Sebab itu, apabila sesuatu pembangunan membawa manfaat kepada rakyat, kita tidak bertanya siapa yang mendapat nama atau datang daripada pihak mana. Yang baik untuk Kelantan, kita sambut dan bekerjasama."

Beliau berkata demikian dalam hantaran di media sosial pada Isnin, susulan lawatan beliau bagi meninjau pembangunan jalan dan jambatan yang menghubungkan Kampung Joh, Machang ke Kampung Belimbing, Tanah Merah melalui Pulau Raya, pada Ahad.

Projek berkenaan membabitkan jajaran dari Kampung Belimbing (Petron) sepanjang 2.325 kilometer, Jambatan Kampung Joh-Pulau Raya sepanjang 330 meter dan Jambatan Pulau Raya-Kampung Belimbing sepanjang 280 meter.

Menurutnya, pembinaan jalan dan jambatan berkenaan membuka hubungan baharu, memendekkan perjalanan, memperluas akses serta merancakkan kegiatan ekonomi masyarakat setempat.

"Kerajaan Negeri menghargai peranan Kerajaan Persekutuan, kementerian, jabatan, agensi serta semua pihak yang terlibat menjayakannya.

"Selagi agendanya membawa manfaat kepada Kelantan, Kerajaan Negeri akan sentiasa terbuka untuk berbincang dan memberikan kerjasama dalam ruang serta bidang kuasa yang ada," ujarnya.

Jelas beliau lagi, jambatan berkenaan bukan milik mana-mana parti, sebaliknya milik rakyat.

"Manfaatnya kembali kepada rakyat. Itulah politik matang. Bukan berebut siapa mendapat nama, tetapi memastikan rakyat mendapat manfaat," tegasnya.

Pautan berjaya disalin!