Pasar Bandar Seri Mentara wakili Kelantan ke pertandingan Pasar P.A.T.U.H. kebangsaan
-
28 September 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim | Kredit foto: KPDN Negeri Kelantan
-
29
MACHANG, 28 September - Pasar Bandar Seri Mentara (BSM) bakal mewakili Kelantan dalam pertandingan Pasar P.A.T.U.H. peringkat kebangsaan anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebagai satu-satunya pasar di negeri ini yang melaksanakan konsep berkenaan.
Ketua Jajahan Machang Mohd Zamri Ibrahim berkata demikian susulan pelaksanaan inisiatif strategik Pasar P.A.T.U.H. menerusi kerjasama Majlis Daerah Machang (MDM) dan KPDN.
“Pasar BSM merupakan satu-satunya pasar di negeri Kelantan yang melaksanakan konsep Pasar P.A.T.U.H. dan bakal bertanding di peringkat kebangsaan sebagai wakil negeri Kelantan,” katanya, ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, lima prinsip P.A.T.U.H. yang diterapkan di Pasar BSM merupakan terjemahan daripada konsep Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) yang dilaksanakan pihak MDM sekali gus menjadi asas kepada pengurusan pasar yang lebih teratur.
Antara penekanan utama inisiatif berkenaan ialah penandaan harga yang jelas, penggunaan alat timbang yang tepat serta penyediaan persekitaran pasar yang bersih, teratur dan mesra pengguna.
Mohd Zamri juga memaklumkan, aspek kebersihan turut diberi perhatian menerusi amalan tiada sampah dan tiada tong sampah yang dilaksanakan secara berterusan di Pasar BSM.
“Pelaksanaan Pasar P.A.T.U.H. ini merupakan satu inisiatif strategik yang perlu dipergiatkan promosinya supaya masyarakat mengetahui keunikan serta kehebatan pelaksanaan konsep tersebut di Pasar BSM,” jelasnya.
Tambahnya, penyertaan Pasar BSM di peringkat kebangsaan turut memberi ruang untuk memperkenalkan pendekatan yang dilaksanakan di pasar berkenaan, khususnya dari aspek kepatuhan, kebersihan, ketepatan urus niaga dan keselesaan pengguna.










