Cadangan sambungan ECRL ke Rantau Panjang buka potensi pelancongan rentas sempadan
-
28 September 2026
-
Oleh: Norzana Razaly
-
41
KOTA DARULNAIM, 28 September - Cadangan melanjutkan jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Rantau Panjang disambut baik pemain industri pelancongan Kelantan kerana berpotensi membuka jaringan pelancongan rentas sempadan Malaysia-Thailand, selain merancakkan perdagangan dan ekonomi di kawasan bersempadan.
Sehubungan itu, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata, pihaknya menyambut baik kenyataan Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai persetujuan Malaysia dan China terhadap cadangan penyambungan jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Rantau Panjang.
Menurutnya, sekiranya cadangan itu dimuktamadkan dan disepadukan dengan rangkaian pengangkutan Thailand, ia berpotensi mewujudkan hubungan rel yang lebih luas antara Kuala Lumpur, Kota Bharu, Rantau Panjang dan kawasan sempadan Thailand.
“Bagi pihak semua pemain industri pelancongan Kelantan, kita menyambut baik kenyataan Perdana Menteri mengenai persetujuan Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan China untuk menyambung landasan ECRL dari Kota Bharu ke Rantau Panjang.
“Dengan demikian, perkhidmatan pengangkutan rel dari Kuala Lumpur ke Rantau Panjang dan seterusnya ke Sungai Golok, Thailand boleh diadakan bagi tujuan penggalakan pelancongan dan juga perdagangan domestik serta antara Malaysia dengan Thailand,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau juga memaklumkan, peluasan jaringan pengangkutan berkenaan berpotensi memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat dan pemain industri, khususnya di Kota Bharu dan Rantau Panjang serta kawasan sempadan Thailand.
“Adalah dijangkakan penduduk Rantau Panjang dan Kota Bharu dan juga Sungai Golok akan memperoleh faedah ekonomi yang besar daripada projek ini.
“Semoga ia dapat dimuktamadkan secepat mungkin oleh semua pihak, negeri dan Persekutuan, yang berkaitan dengan pihak berkuasa China dan Thailand,” katanya.
Perdana Menteri pada 24 September dilaporkan berkata Malaysia dan China bersetuju dengan cadangan melanjutkan ECRL dari Kota Bharu ke Rantau Panjang yang dianggarkan sekitar 25 kilometer. Menurut beliau, cadangan itu berpotensi merancakkan kegiatan ekonomi di Kelantan dan membuka sambungan pengangkutan dengan Thailand.
Walau bagaimanapun, cadangan berkenaan masih perlu melalui perbincangan lanjut bersama semua pihak berkepentingan sebelum dibawa kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan. Perdana Menteri turut memaklumkan cadangan tersebut menerima maklum balas positif dalam perbincangannya dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul.
"Sekiranya direalisasikan, peluasan jajaran itu bakal menambah dimensi baharu kepada sistem pengangkutan Pantai Timur dengan Rantau Panjang berpotensi berkembang sebagai pintu masuk pelancongan dan perdagangan rentas sempadan yang menghubungkan Kelantan dengan selatan Thailand," jelas Datuk Kamarudin.







