Jualan Pesta Flora Kelantan 2026 cecah RM822,316, meningkat 43 peratus
-
28 September 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
52
KOTA DARULNAIM, 28 September - Pesta Flora Kelantan 2026 mencatat nilai jualan keseluruhan RM822,316 sepanjang empat hari penganjuran, meningkat 43 peratus berbanding RM575,318.55 yang direkodkan pada tahun lalu.
Pesta yang berlangsung dari 24 hingga 27 September di Taman Perbandaran Tengku Anis, Tanjung Chat sempena ulang tahun keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ke-57 itu turut melepasi sasaran jangkaan Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.
Beliau berkata, jualan telah mencecah RM619,306.30 selepas tiga hari penganjuran sebelum melonjak kepada RM822,316 pada hari terakhir.
"Pencapaian tersebut menyaksikan pertambahan nilai jualan kira-kira RM247,000 berbanding tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan sambutan positif pengunjung terhadap produk florikultur, industri asas tani (IAT), industri kecil dan sederhana (IKS) serta produk lain yang dipasarkan sepanjang pesta berlangsung," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang berganding bahu menjayakan Pesta Flora Kelantan 2026, khususnya jawatankuasa penganjur yang melibatkan Jabatan Pertanian Negeri Kelantan (DOA), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), PLANMalaysia Kelantan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB), Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan.
Penghargaan turut diberikan kepada jabatan dan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi teknikal, institusi pendidikan, sektor swasta, penaja, pengusaha florikultur dan landskap, usahawan IKS dan IAT, peniaga, persatuan, komuniti serta sukarelawan yang terlibat sepanjang penganjuran.
Beliau turut memuji komitmen dan kreativiti PBT dalam pertandingan landskap yang menjadi antara tarikan pesta berkenaan.
Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam muncul johan pertandingan itu, diikuti MPKB-BRI di tempat kedua manakala Majlis Daerah Tanah Merah menduduki tempat ketiga.
Menurutnya, konsep kelestarian Pesta Flora 2026 berjaya diterjemahkan melalui elemen flora, fauna dan landskap bahkan diperluas menerusi penerapan teknologi hijau.
“Pada Pesta Flora kali ini, kita memperkenalkan buggy berkuasa solar tajaan Politeknik Jeli Kelantan. Ini membuktikan teknologi dan kelestarian boleh bergerak seiring dalam menjaga alam.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Politeknik Jeli Kelantan atas sumbangan ini,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada urus setia, Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Kecil serta pegawai dan kakitangan yang bekerja sebelum, semasa dan selepas pesta berlangsung.
Tidak ketinggalan, penghargaan diberikan kepada penggiat seni dan budaya, peserta pertandingan serta usahawan florikultur, IKS dan IAT yang membawa hasil dan produk masing-masing untuk dipasarkan kepada pengunjung.
“Paling penting, terima kasih kepada seluruh rakyat Kelantan serta pengunjung dari luar Kelantan yang hadir memeriahkan pesta ini,” katanya.









