Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan sasar sifar plastik sekali guna menjelang 2030

  • 28 September 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 32

PASIR MAS, 28 September — Kerajaan Negeri Kelantan menyasarkan penggunaan plastik sekali guna dihentikan menjelang tahun 2030 menerusi pelaksanaan secara berperingkat di semua pihak berkuasa tempatan (PBT), selaras dengan hala tuju Kerajaan Persekutuan ke arah sifar plastik sekali guna.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, tempoh menuju tahun 2030 perlu dimanfaatkan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat serta menyediakan peniaga dan pengguna bagi melakukan peralihan kepada alternatif yang lebih mesra alam.

Sasaran tersebut selari dengan Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018–2030 yang menyediakan hala tuju dasar kepada semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan negeri untuk mengambil pendekatan secara kolektif. 

Menurut YB Hilmi, semua PBT di Kelantan telah diminta menggerakkan usaha supaya peniaga mengurangkan penggunaan plastik sekali guna secara berperingkat.

“Kita bergerak secara agresif di peringkat Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) kerana sebahagian besar peniaga tertumpu di situ.

“Kita juga mendapat kerjasama penuh daripada pasar raya besar dan kedai-kedai berangkai, selain dalam proses menggerakkan kempen di peringkat pasar-pasar besar untuk mula mengurangkan penggunaan plastik sekali guna,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Hari Cuci Malaysia 2026 Peringkat Negeri Kelantan di Bandar Tasek Raja, di sini, pada Sabtu.

YB Hilmi juga menegeaskan, kerajaan negeri berharap semua PBT dapat melaksanakan langkah lebih menyeluruh menjelang 2030 bagi menghindari penggunaan plastik sekali guna dalam kawasan pentadbiran masing-masing.

“Insya Allah pada tahun 2030 ini, harapan kita seluruh PBT di Kelantan dapat mewajibkan supaya tidak digunakan plastik sekali guna di peringkat PBT masing-masing,” ujarnya.

Di peringkat nasional, usaha mengurangkan penggunaan plastik turut dilaksanakan secara berfasa. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam sebelum ini memaklumkan bahawa pelaksanaan dasar berkaitan plastik merangkumi antaranya caj pencemaran terhadap beg plastik konvensional serta langkah menghindari penggunaan plastik sekali guna. 

Tambahnya, berdasarkan maklumat yang dirujuk pihaknya, plastik menyumbang kira-kira 70 peratus daripada sampah harian manakala bakinya terdiri daripada sisa makanan.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui usaha menghentikan penggunaan plastik sekali guna berdepan cabaran terutama dalam menyediakan bahan alternatif yang praktikal dan mampu milik kepada peniaga.

“Contoh di pasar, diutarakan masalah dalam kalangan peniaga pasar. Contohnya untuk membungkus bahan basah seperti ikan dan daging yang masih memerlukan plastik. Tidak boleh guna kertas sebab kertas ini mudah hancur.

“Kos untuk pengeluaran biodegradable iaitu alternatif kepada plastik juga tinggi dan tidak banyak kilang mengeluarkan, jadi harganya tinggi,” jelasnya.

Pautan berjaya disalin!