Accessibility Tools

Skip to main content

Pesta Flora 2026 catat jualan RM619,306.30 dalam tiga hari

  • 28 September 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 30

KOTA BHARU, 28 September - Pesta Flora Kelantan 2026 yang berlangsung sempena ulang tahun keputeraan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V ke 57 di Taman Perbandaran Tengku Anis mencatat nilai jualan sebanyak RM619,306.30 dalam tempoh tiga hari pertama penganjurannya.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata jumlah berkenaan sudah mengatasi nilai keseluruhan jualan empat hari pada Pesta Flora 2025 yang merekodkan RM575,318.55.

Katanya, pencapaian itu menunjukkan sambutan masyarakat yang menggalakkan terhadap Pesta Flora serta sokongan diberikan kepada usahawan tempatan menerusi perbelanjaan yang dibuat sepanjang pesta berkenaan.

"Saya jangkakan hasil jualan melebihi RM700,000 masuk hari keempat ini," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Pesta Flora 2026 di Taman Perbandaran Tengku Anis, Tanjung Chat, di sini, semalam. 

Beliau turut memberi penekanan terhadap industri florikultur yang mempunyai potensi ekonomi yang besar.

"Rantaian industri ini melibatkan pengeluar, pengusaha nurseri, pembekal input, pengusaha landskap, pereka bentuk, usahawan, penjual dan pengguna," katanya. 

Menurut Dato' Tuan Mohd Saripudin, Pesta Flora kali ini mengetengahkan lebih 7,745 pokok tanaman hiasan daripada pelbagai spesies dan varieti yang digunakan oleh 12 pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, tanaman itu terdiri daripada pokok besar, pokok renek, orkid, keladi, paku pakis dan palma, sekali gus memberikan gambaran mengenai luasnya potensi tanaman hiasan, florikultur dan landskap tempatan.

"Jika ditambah dengan jualan florikultur, keseluruhan flora yang diketengahkan kali ini mencapai lebih 10,000 pokok daripada pelbagai spesies dan varieti," jelasnya.

Tambahnya, dari sudut ekonomi tempatan pula, Pesta Flora tahun ini menghimpunkan 83 reruai usahawan tempatan yang merangkumi empat kategori utama.

Beliau memaklumkan, kategori berkenaan ialah jualan florikultur, jualan produk Industri Asas Tani (IAT) tempatan, Industri Kecil Sederhana (IKS) termasuk makanan dan minuman serta produk kraftangan dan pelbagai.

"Konsep "Laman Fantasi" yang diketengahkan tahun ini berjaya menterjemahkan kreativiti setiap daerah menerusi gabungan unsur alam, cahaya, tumbuhan dan elemen imaginasi.

"Keindahan flora dan fauna serta reka bentuk 'hardscape' yang kreatif menjadikan setiap landskap mempunyai identiti tersendiri.

"Lebih menarik, keindahannya lebih terserlah pada waktu malam melalui pencahayaan yang indah dan memukau," ujarnya.

Jelas beliau lagi, Pesta Flora kali ini turut menampilkan pameran tanaman ros yang sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam dunia tanaman hiasan.

"Kepelbagaian varieti, warna, bentuk dan wangian ros menjadi antara tarikan utama pada edisi kali ini dengan 400 jenis ros dibawa untuk pengunjung.

"Selain itu, bunga kekwa, bunga Lalang, Daisy dan Lavender turut menghiasi Laman Ros dengan jumlah keseluruhan pokok yang dipamerkan sebanyak 860 pokok," katanya.

Ujarnya lagi, turut dipamerkan ialah bromeliad dalam pelbagai bentuk dan jenis, membabitkan 145 pokok daripada 23 spesies bromeliad yang terdiri daripada Little Louie, Wild Rabbit, Primento dan banyak lagi.

"Jika tahun lalu kita mengetengahkan terrarium, tahun ini kita tampilkan pula pertandingan dan pameran paludarium, iaitu ekosistem mini yang menggabungkan habitat daratan dan air dalam bekas kaca, dengan sentuhan kreativiti dan keunikan," katanya.

Hadir sama, Timbalan Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi  YB Dato’ Shaari Mat Hussain dan Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian yang juga Setiausaha Pesta Flora 2026 Murniwati Mohamad.

Pautan berjaya disalin!