Accessibility Tools

Skip to main content

Kerajaan Kelantan sumbang RM85,200 tanggung tiga bulan sewa peniaga Pasar Awam Machang

  • 28 September 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 38

MACHANG, 27 September - Kerajaan Negeri Kelantan bersetuju menyalurkan sumbangan RM85,200 bagi menampung kos sewaan kedai selama tiga bulan kepada peniaga Pasar Awam Machang yang berpindah ke lokasi baharu.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, bantuan itu merupakan tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan peniaga yang berdepan kos permulaan dan fasa penyesuaian selepas berpindah ke lokasi baharu.

“Kerajaan Negeri Kelantan bersetuju menyalurkan sumbangan bernilai RM85,200 bagi menampung kos sewaan kedai selama tiga bulan kepada para peniaga Pasar Awam Machang bermula dari awal operasi perniagaan mereka,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Bandar Seri Mentara dan Pasar Awam Machang di Bandar Seri Mentara, di sini hari ini.

Menurutnya, bantuan tersebut diharap dapat meringankan beban peniaga sekali gus menyuntik semangat untuk mereka terus memajukan ekonomi tempatan melalui aktiviti perniagaan yang dijalankan.

Sehubungan itu, Dato’ Mohd Nassuruddin merakamkan penghargaan kepada Majlis Daerah Machang serta semua pihak yang berusaha memastikan pembangunan Bandar Seri Mentara dan Pasar Awam Machang dapat direalisasikan.

Beliau berharap kemudahan yang disediakan di lokasi baharu itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat Machang serta membantu mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan yang dapat meningkatkan pendapatan rakyat.

Pautan berjaya disalin!