Bandar Seri Mentara RM70 juta pemangkin baharu pertumbuhan ekonomi Machang
-
28 September 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
44
MACHANG, 27 September - Bandar Seri Mentara yang dibangunkan dengan nilai pembangunan sekitar RM70 juta dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi dan perkembangan aktiviti perniagaan di Machang.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, kedudukan Machang yang strategik di laluan utama menghubungkan Kota Bharu, Kuala Krai, Tanah Merah dan Pasir Puteh menjadikan pembangunan bandar baharu itu mempunyai potensi besar untuk dimanfaatkan masyarakat.
“Pembangunan Bandar Baharu Machang atau Bandar Seri Mentara ini merangkumi keluasan kira-kira 23.58 ekar dengan pelbagai komponen utama yang dapat menyokong keperluan masyarakat serta aktiviti ekonomi setempat,” katanya ketika merasmikan Bandar Seri Mentara dan Pasar Awam Machang di Bandar Seri Mentara, di sini, hari ini.
Menurutnya, pembangunan berkenaan merangkumi 169 unit kedai dan pejabat dua tingkat, pasar raya, pasar basah dan kering, perhentian bas, surau serta kemudahan rumah sampah.
Tambahnya, pembangunan tersebut menyediakan infrastruktur dan kemudahan fizikal dan mampu mewujudkan persekitaran kehidupan yang lebih baik serta meningkatkan tahap sosioekonomi masyarakat.
Beliau berharap Bandar Seri Mentara dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat Machang sebagai pemangkin kepada pembukaan perniagaan baharu, peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan rakyat seiring dengan perkembangan pembangunan kawasan berkenaan.








