Pasar Awam Machang dibuka dengan kemudahan lebih kondusif
-
28 September 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
39
MACHANG, 27 September - Pasar Awam Machang di Bandar Seri Mentara kini dibuka secara rasmi dengan penyediaan kemudahan yang kondusif merangkumi pasar basah dan kering serta komponen sokongan bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, pembangunan Bandar Seri Mentara merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memperkukuh perkembangan ekonomi setempat.
“Selain membina infrastruktur dan kemudahan fizikal yang menjadi tanggungjawab kerajaan, kita perlu memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan mampu membina kehidupan rakyat yang lebih sejahtera,” katanya ketika merasmikan Bandar Seri Mentara dan Pasar Awam Machang di Bandar Seri Mentara, di sini, hari ini.
Menurutnya, Bandar Seri Mentara dibangunkan di kawasan kira-kira 23.58 ekar dengan nilai pembangunan sekitar RM70 juta dan turut menempatkan 169 unit kedai dan pejabat dua tingkat, pasar raya, perhentian bas, surau serta kemudahan rumah sampah.
Tambahnya, kemudahan berkenaan perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh masyarakat Machang supaya pembangunan yang dilaksanakan dapat memberi manfaat secara langsung kepada kehidupan dan aktiviti ekonomi setempat.
Beliau berharap kemudahan tersebut dapat digunakan serta dimanfaatkan oleh seluruh masyarakat.








