'Bandar Machang Tok Sey Sapoh' perkasa budaya sifar sisa
-
28 September 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
36
MACHANG, 27 September - Inisiatif ‘Bandar Machang Tok Sey Sapoh’ perlu diperkasakan sebagai usaha membentuk budaya kebersihan dan pengurusan sisa yang lebih tersusun dalam kalangan masyarakat, khususnya di Bandar Seri Mentara.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, konsep Sifar Sisa (Zero Waste) berkaitan kebersihan dan melibatkan perubahan budaya masyarakat dalam mengurus sisa yang dihasilkan.
“Sampah tidak harus dilihat sebagai bahan buangan semata-mata, sebaliknya sisa yang dihasilkan boleh diasingkan, dikitar semula dan dimanfaatkan sehingga mempunyai nilai ekonomi,” katanya ketika merasmikan Bandar Seri Mentara dan Pasar Awam Machang di Bandar Seri Mentara, di sini, hari ini.
Menurutnya, masyarakat perlu beralih daripada kaedah mengumpul dan membuang sisa kepada ekosistem pengurusan sisa pepejal yang lebih tersusun, cekap dan lestari.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, tanggungjawab menjaga kebersihan tidak boleh diletakkan kepada pihak berkuasa tempatan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama pengurusan pasar, peniaga dan pelanggan.
Dato’ Mohd Nassuruddin juga berharap Bandar Seri Mentara dapat menjadi contoh kawasan bandar yang mengutamakan kebersihan dan kelestarian alam sekitar, dengan setiap peniaga menjaga kebersihan premis masing-masing.
Manakala pengunjung pula membudayakan amalan membuang sampah di tempat yang disediakan.








