Accessibility Tools

Skip to main content

Raih lima bintang peringkat kebangsaan, MDM pertingkat mutu perkhidmatan

  • 28 September 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 31

MACHANG, 27 September - Majlis Daerah Machang (MDM) mencatat pencapaian cemerlang lima bintang di peringkat kebangsaan menerusi beberapa pengiktirafan sempena Konvensyen PBT dan Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026.

Sehubungan itu, Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada MDM atas pencapaian tersebut yang mencerminkan usaha meningkatkan mutu pengurusan, pendigitalan dan penyampaian perkhidmatan.

“Penarafan lima bintang dengan 96 peratus bagi Audit Teknikal Kesihatan Persekitaran PBT, penarafan empat bintang bagi Sistem Penarafan Bintang PBT (SSR-PBT Cemerlang) serta Johan Anugerah PBT Terbaik Pembayaran Tanpa Tunai adalah antara pencapaian yang membanggakan,” katanya ketika merasmikan Bandar Seri Mentara dan Pasar Awam Machang di Bandar Seri Mentara, di sini, hari ini.

Menurutnya, MDM turut tersenarai dalam lima PBT terbaik bagi Kampus/Kempen Kesihatan Persekitaran 2026 daripada 156 PBT di seluruh negara.

Dato’ Mohd Nassuruddin mengingatkan supaya pengiktirafan tersebut dijadikan dorongan untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan dan bukan alasan untuk berasa selesa.

Beliau juga menyeru seluruh pihak berkuasa tempatan di Kelantan agar terus memegang prinsip integriti, kecekapan dan inovasi selaras dengan agenda ‘Membangun Bersama Islam’ dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat terus diperkasakan.

Pautan berjaya disalin!