Pusat pengumpulan hasil tani akan diwujudkan di lokasi strategik -TMB Kelantan
-
27 September 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
26
KOTA BHARU, 27 September – Kerajaan Negeri Kelantan akan mewujudkan pusat pengumpulan hasil tani di lokasi strategik bagi mengatasi ketirisan nilai hasil pertanian yang memberi kesan terhadap pengiraan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, langkah tersebut antara perkara yang perlu diberi perhatian berdasarkan pandangan dan cadangan yang dikemukakan dalam sesi libat urus bersama golongan profesional dan NGO.
Menurutnya, hasil pengeluaran pertanian Kelantan sebenarnya telah melebihi permintaan domestik negeri, namun sebahagian hasil berkenaan didakwa dijenamakan semula sebagai produk dari tempat lain.
“Antara langkah segera yang perlu kita ambil adalah mewujudkan pusat pengumpulan hasil tani kita sendiri di lokasi strategik,” katanya ketika berucap pada Majlis Townhall Profesional Kelantan: Libat Urus Strategik ke Arah Belanjawan Kelantan 2027 di sebuah hotel di Kota Bharu, semalam.
Dalam pada itu, katanya, langkah berkenaan penting bagi memastikan hasil pertanian Kelantan dapat dikenal pasti dengan lebih jelas dan tidak menjejaskan gambaran sebenar sumbangan sektor berkenaan kepada ekonomi negeri.
Tambahnya, usaha memperkukuh kedudukan Kelantan sebagai negeri pertanian turut selari dengan asas yang telah diletakkan oleh mantan Menteri Besar Kelantan Tan Sri Tuan Guru Dato' Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat.










